PETALING JAYA – Pengganas Sulu, Kumpulan Abu Sayyaf (ASG) dan kumpulan penculik bagi mendapatkan wang tebusan (KFR) kini menunggu masa untuk menceroboh kawasan Timur Sabah untuk tujuan penculikan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, ancaman itu sentiasa ada memandangkan tiga kumpulan tersebut menunggu peluang untuk memasuki kawasan sepanjang 1,400 kilometer bermula dari Kudat ke Tawau.
Menurut Abdul Hamid, kumpulan-kumpulan penjenayah itu tidak pernah berhenti berusaha untuk menceroboh biarpun berdepan ancaman Covid-19.
“Mereka (penculik dan penceroboh) sentiasa berhubung dengan tali barut yang berada di Sabah bagi mendapat maklumat mengenai pergerakan pihak berkuasa.
“Selagi keadaan di selatan Filipina, Mindanao tidak berubah selagi itu ancaman tetap wujud.
“Namun, berlaku atau tidak sesuatu insiden (ceroboh dan culik) bergantung sama ada terdapat kelonggaran pihak Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) dalam mengawal sempadan.
“Sekiranya Esscom tidak melakukan tugasan dengan baik, ia membuka ruang kepada kumpulan penculik ini untuk melakukan jenayah,” katanya ketika ditemui kepada Kosmo! baru-baru ini.

Mendedahkan modus operandi, Abdul Hamid berkata, kumpulan penculik dan penceroboh itu memasuki perairan negara pada waktu malam dan menuju ke lokasi sasaran berpandukan maklumat yang diberikan tali barut.
“Kumpulan-kumpulan ini menyasarkan rakyat tempatan, sekiranya ada pelancong asing ia dikira ‘bonus besar’,” katanya.
Selepas menculik, penjenayah kemudian membawa tebusan ke lokasi mereka pada hari sama.
Sekiranya kejadian itu diketahui pihak berkuasa, kumpulan itu bermalam di rumah ejen sehingga keadaan kembali tenang.
Kawalan keselamatan ketat di kawasan Timur Sabah setakat ini menyebabkan penculik terdesak sehingga nelayan turut menjadi mangsa bagi mendapatkan wang RM10,000 hingga RM100,000.
“Kumpulan penculik ini berada di Pulau Jolo, Basilan dan Tawi-tawi. Hubungan pihak berkuasa Malaysia dengan datuk bandar, gabenor serta pihak berkuasa pulau itu berjaya meredakan ancaman,” kata beliau.















