fbpx

Saebah bina empayar Devisa untuk berkongsi rezeki bersama pengedar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Jika tidak kerana dicabar oleh pengurusnya untuk membuat kerja-kerja promosi dan pemasaran, usahawan ini pastinya akan terus berada dalam dunia pengurusan dan pentadbiran sahaja.

Hampir 17 tahun di beberapa buah syarikat sebelum ini, Pe­ngasas Devisa Beauty And Health (Devisa) , Saebah Abd. Rahim, 44, hanya bertugas dalam bidang tersebut dan tidak terfikir untuk mencuba sesuatu dalam membina kerjaya masa depannya.

Mungkin mahu mencabar diri, graduan bidang Mekatronik daripada pusat pengajian tinggi awam ini berani menyahut cabaran tersebut dan cuba mempelajari selok belok ‘menjual’ produk dan perkhidmatan syarikat dalam bidang peralatan dan alat tulis.

Ternyata langkahnya itu menjadi kerana hasil bimbingan da­ripada pengurusnya, wanita ini berjaya mencapai sasaran jualan syarikat yang ditetapkan.

“Kerana pencapaian itu, saya berjaya memandu pulang sebuah kereta mewah hasil usaha tersebut dan ini adalah salah satu impian saya selama ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Melalui pengalaman yang di­timba dalam bidang pemasaran itu, keyakinan Saebah makin menebal sehingga nekad untuk me­langkah keluar daripada kerja makan gaji untuk menjadi seorang usahawan.

Buat permulaan, beliau berjinak-jinak menjual produk penjagaan kesihatan dan kecantikan keluaran daripada syarikat lain sebagai usaha untuk menimba seberapa banyak pengalaman dalam bidang tersebut.

“Selama tiga tahun saya bertahan dalam bidang tersebut dan hasilnya saya bersama kumpulan yang dibina telah berjaya membantu menaikkan jualan syarikat.

“Jualan kami pernah menca­tat sehingga lebih daripada RM1 juta, dan ini membuktikan saya memang berbakat untuk berjaya dalam bidang perniagaan,” jelas beliau.

Namun, tidak semua yang diimpi akan menjadi kenyataan kerana ada kalanya, ia dihalang oleh pelbagai ujian untuk me­nguji hamba-Nya.

Saebah ‘jatuh” seketika kerana diduga dengan masalah kerugian hampir RM1 juta daripada masalah pengurusan syarikat berkenaan sehingga menyebabkan beliau tinggal sehelai sepinggang.

Namun kemurungan tersebut tidak melemahkan semangatnya malah wanita ini gigih bangun semula untuk membina empayar sendiri dengan misi untuk mengeluarkan pelbagai produk penjagaan kesihatan bagi me­nguasai pasaran semasa.

Pada peringkat awal, Devisa yang memulakan perniagaan dengan modal kira-kira RM300,000 hasil daripada jualan salah satu kereta mewahnya te­lah memperkenalkan tiga produk berupa jus kesihatan, detoks dan jamu.

 

“Pengalaman lalu menjadikan saya lebih matang untuk me­nguruskan perniagaan, melatih pengedar dan menyusun strategi dalam bidang promosi dan pemasaran produk.

“Kini produk telah bertambah kepada tujuh jenis dan ia telah mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

“Saya mengunjurkan jualan pada tahun ini akan bertambah tiga kali ganda dan saya berasa teruja kerana meskipun persekitaran ekonomi yang sukar memberi kesan kepada semua jenis perniagaan tetapi bagi Devisa, ia tetap stabil dan kukuh,” jelasnya.

Buat masa ini, syarikat memiliki le­bih daripada 300 pengedar aktif dan berharap ia bertambah kepada 1,000 pengedar.
Saebah kini mahu berkongsi rezeki bersama ramai lagi usahawan yang terjejas dan mahu menambah pendapatan tambahan melalui penceburan mereka di dalam keluarga Devisa.

“Banyak peluang dan ruang untuk mereka bangkit bersama kami agar mereka dapat me­ngubah nasib diri,” tegas beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI