fbpx

Bot peronda 24 jam di lokasi strategik halang pencerobohan nelayan asing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.

LUMUT – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) kini menempatkan bot peronda secara statik selama 24 jam di lokasi strategik perairan negara di Perak yang dikenal pasti sering diceroboh nelayan asing.

Bot peronda yang memuatkan antara 15 hingga 20 pegawai dan anggota yang dilengkapi persenjataan itu, ditempatkan pada kedudukan antara 30 hingga 50 batu nautika di barat laut Pulau Jarak dekat sini.

Pada masa sama, sebuah bot pemintas dikenali Benteng 6 yang mempunyai kelajuan 60 knot pula ditempatkan di sekitar perairan Pangkor yang boleh digerakkan bila-bila masa dan boleh sampai di lokasi tersebut kurang sejam.

Pengarah APMM Perak, Kepten Maritim Shahrizan Raman, berkata pesawat agensi itu, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Gerakan Marin (PGM) turut melakukan rondaan udara setiap hari, selain pengesanan melalui radar serta maklumat daripada nelayan tempatan.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan selepas pihaknya mengenal pasti empat ‘lokasi panas’ yang sering menjadi tumpuan pencerobohan nelayan Indonesia di barat laut Pulau Jarak, sejak beberapa bulan lalu.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan Mac lalu sehingga kini, APMM sudah melakukan 66 aktiviti pengusiran melibatkan 199 bot nelayan Indonesia.

“Bilangan terbesar diusir ialah pada 18 September melibatkan 52 bot diikuti 40 bot masing-masing pada 17 September dan 13 November, serta 25 bot pada 20 Julai lalu,”katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Mengulas lanjut, beliau berkata, semua nelayan itu datang dari kawasan Belawan, Medan atau Tanjung Balai di Sumatera, Indonesia dan ketika soal siasat, sering memberi alasan terlajak dan tidak tahu sudah masuk perairan Malaysia.

“Pencerobohan sering berlaku ketika musim cuaca baik dan mendakwa lokasi diceroboh itu ada banyak ikan,”ujarnya.

Sementara itu, mengulas kebimbangan orang ramai terhadap pencerobohan itu dengan menyifatkan pihak berkuasa maritim Malaysia terlalu berlembut berbanding tindakan pihak berkuasa Indonesia yang membakar bot nelayan asing yang menceroboh perairan negara itu sebelum ini.

Shahrizan berkata, tindakan pengusiran dan bukan tangkapan terhadap bot serta nelayan Indonesia dilakukan sejak PKP atas arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Disebabkan penularan wabak Covid-19 yang tidak terkawal di negara jiran itu, yang dikhuatiri boleh merebak ke negara ini jika semua nelayan itu ditahan dan ditempatkan di pusat tahanan di negara ini.

“Langkah pengusiran itu adalah tindakan terbaik buat masa ini untuk mencegah penularan wabak Covid-19 dari luar negara,”katanya.-K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI