fbpx
Ismail Awang Kechik yang dilaporkan hilang sejak kelmarin ditemui selamat kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Warga emas hilang ditemui selamat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELI – Seorang warga emas yang dikhuatiri hilang sewaktu keluar bersiar-siar di sekitar kawasan rumahnya di Kampung Berdang di sini sejak kelmarin ditemui dalam keadaan selamat pagi tadi.

Mangsa, Ismail Awang Kechik, 83, ditemui oleh anggota penyelamat dan penduduk kampung kira-kira satu kilometer dari rumahnya pada pukul 9.45 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Adnin Ibrahim berkata, selepas menerima laporan, seramai 120 orang anggota telah terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas berkenaan.

Menurutnya, jumlah tersebut merangkumi anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Jeli, Polis, Jabatan Sukarelawan Rakyat (Rela), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.

“SAR hari ini turut dibantu oleh anggota dari Unit K-9 Bomba bersama dua ekor anjing pengesan.

“Warga emas berkenaan ditemui dalam keadaan lemah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Terdahulu, tular di laman sosial Facebook mengenai kehilangan warga emas itu sejak semalam apabila ahli keluarganya memuat naik berita tersebut bagi memohon kerjasama orang ramai mengesan lelaki berkenaan.

Mengulas lanjut, Mohd. Adnin berkata, warga emas yang dipercayai mempunyai penyakit nyanyuk itu difahamkan lupa jalan untuk pulang ke rumahnya selepas keluar bersiar-siar

Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah terlibat dalam menjayakan SAR itu.-K!ONLINE

POPULAR