ISKANDAR PUTERI – Dua lelaki yang bekerja sebagai kontraktor pengubahsuaian rumah ditahan polis kerana dipercayai melakukan jenayah samun pecah rumah di kawasan Bukit Indah, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek merupakan kontraktor yang melakukan kerja pengubahsuaian di kawasan kediaman itu sejak sebulan lalu.
Menurutnya, kedua-dua suspek yang ditahan berusia 26 dan 55 tahun dan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Pada 14 November, kami menerima laporan satu kejadian pecah rumah daripada seorang pengadu yang merupakan seorang jurutera elektrik.
“Bertindak atas maklumat tersebut, polis berjaya menahan dua suspek lelaki yang telah bekerja di kawasan perumahan itu sejak sebulan lalu, di kawasan Ulu Tiram, malam semalam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, polis turut membuat rampasan melibatkan barangan antaranya sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux, satu kipas siling, satu unit drill, 12 unit lampu siling, empat tong cat, dua sinki dan satu penyedut asap.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya lanjut.
Sementara itu, Dzulkhairi turut memberitahu kejayaan pihaknya menangkap dua lelaki warganegara Bangladesh terlibat dalam jenayah penyeludupan arak dan rokok di kawasan Nusa Bestari, September lalu.
Katanya, suspek yang ditahan berusia 34 dan 30 tahun dan bertugas sebagai penjaga di kediaman berkenaan.
“Dalam serbuan berkenaan, polis turut merampas 153 karton rokok pelbagai jenama, 18, kotak minuman keras jenama 3 Horse, 17 kotak minuman keras jenama Mcdowell, 5 karton minuman keras jenama Crazy Rhino dan satu karton minuman keras jenama Heineken.
“Kes disiasat di bawah Sek.135 (1)(e) Akta Kastam dan Sek.15 (1)(c) Akta Imigresen,” tambahnya.-K! ONLINE