fbpx

Cekik dan maki polis, penganggur dijel 4 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tertuduh Ahmad Rosli keluar dari Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku salah mencekik dan memaki anggota polis.

PETALING JAYA – Perbuatan seorang penganggur yang mencekik dan memaki anggota polis ketika cuba menenangkannya mengamuk, memakan diri apabila dia dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Mohamad Ikhwan Mohd. Nasir menjatuhkan hukuman itu terhadap Ahmad Rosli Ahmad Kamsah, 49, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman penjara bagi dua pertuduhan itu berjalan secara serentak bermula dari tarikh tertuduh ditangkap pada 11 November lalu.

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad Rosli didakwa menggunakan kekerasan jenayah bagi menakutkan penjawat awam iaitu anggota polis Korporal Mohamed Nor Fitri Zainurin dengan mencekik leher mangsa.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah, di Impian Baiduri, Jalan 224, di sini pukul 5.05 petang pada 11 November lalu.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah dengan niat menganggu kesantunan mangsa sama, dengan mengeluarkan kata-kata kesat berulang kali pada tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Pertuduhan kedua itu, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abdul Hamid memohon mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira perbuatan yang dilakukan terhadap seorang penjawat awam.

“Dalam kes ini, tindakan tertuduh dianggap gangsterisme dan tidak bermoral selain telah mendatangkan kesulitan terhadap anggota polis yang menjalankan tugas,” katanya.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam hanya memohon dikurangkan hukuman kerana mempunyai tanggungan keluarga isteri dan anaknya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian mangsa yang merupakan anggota polis dari bahagian peronda telah menerima maklumat terdapat satu kes seorang lelaki mengamuk yang memukul isteri dan anaknya.

Setibanya di tempat kejadian, mangsa telah cuba menenangkan tertuduh namun sebaliknya berlaku apabila tertuduh telah mengeluarkan kata-kata kesat selain mencekik mangsa sehingga mendatangkan kecederaan.

Sementara itu dalam prosiding berlainan di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol, Ahmad Rosli mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap isterinya Rorbi Ah Darloh, 48, dan anak perempuannya yang berusia 11 tahun pukul 4 petang di lokasi dan tarikh yang sama.

Bagi dua pertuduhan mendatangkan cedera itu kes didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Terdahulu tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan tersebut namun menukar kepada pengakuan tidak bersalah selepas mahkamah menangguhkan prosiding sebentar bagi hukuman.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendawa Raya Zamriah Zarifah Aris dan tarikh 19 Januari 2021 ditetapkan bagi sebutan semula kes.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI