fbpx
ABE bijak mengawal ular-ular peliharaannya termasuk Cik Kiah yang bersaiz lebih besar.– Amir Irsyad Omar

Terapi jiwa abang sado pada Cik Kiah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERGETAR seluruh urat badan lelaki bertubuh sado ini tatkala reptilia spesies ular sawa batik itu membelit erat sebahagian tubuh badannya.
Pecah juga keringat lelaki yang mesra disapa Abe atau nama sebenarnya, Mohd. Redzuan Abdullah Zawawi, 36, itu ketika haiwan peliharaannya yang digelar Cik Kiah melingkari segenap anggota badan dan sesekali menyentuh rapat hingga ke sisi wajahnya. Ketika itu hujan turun dengan lebat, Cik Kiah seperti sudah biasa dengan suasana persekitaran anak sungai yang terletak di Kuala Sungai Pinang, Balik Pulau, Pulau Pinang itu.

Haiwan tersebut menyusuri sungai dengan pergerakan yang terkawal dan perlahan umpama mengerti arahan daripada si penjaganya.

Abe yang juga bekas pemandu peribadi itu dilihat tidak kekok apabila diminta bergambar dan mempamerkan aksi bersama reptilia yang dibelanya sejak 17 tahun lalu.

Kemahiran luar biasa yang dimiliki anak kelahiran Kelantan dalam mengawal pergerakan ular selain menguruskan penjagaan reptilia dikatakan paling berat di Asia Tenggara itu nyata membuatkan ramai yang teruja melihat aksi beraninya itu.

Cerita bapa kepada dua cahaya mata itu, dia dilahirkan dalam sebuah keluarga pencinta haiwan peliharaan seperti kucing dan ternakan lembu serta kambing.

“Saya mula menyimpan hasrat memelihara reptilia ini sejak kecil lagi, namun tidak dibenarkan oleh ibu bapa ketika itu atas faktor keselamatan, selain sumber kewangan yang terhad untuk menguruskan penjagaannya.

“Bagaimanapun, impian saya untuk memiliki dan memeliharanya akhirnya terlaksana setelah terserempak dengan reptilia ini ketika berada di sebuah dusun durian milik seorang rakan di Teluk Bahang, Balik Pulau. Semasa itu, Cik Kiah ditemui di celah pondok kayu.

“Ketika itu, saiz badannya dianggarkan hanya berukuran tiga jari manusia dengan panjang satu meter. Usia saya pula sewaktu itu adalah dalam lingkungan 20-an. Saya terus membawanya balik ke rumah dan mula menjaganya sehinggalah hari ini usianya mencecah 17 tahun,” katanya ketika ditemui Panorama.

 

ABE sangat menyayangi Cik Kiah yang dipelihara sejak 17 tahun lalu.

 

Keunikan tersendiri

Menurut Abe lagi, walaupun sering berdepan dengan pelbagai tohmahan masyarakat setiap kali melihatnya memegang ular sawa tersebut, namun dia menganggapnya satu cabaran dalam meneruskan kehidupan sebagai pencinta haiwan itu.

“Pernah orang cakap saya gila dan ada juga yang mendoakan saya agar segera mati gara-gara membela ular sawa besar ini, apatah lagi cara penjagaannya juga melibatkan kos yang tinggi.

“Kata-kata itu tidak sedikitpun mematahkan semangat saya untuk terus memelihara Cik Kiah kerana saya juga adalah pemegang lesen menyimpan hidupan liar yang dilindungi daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” ujarnya.

Katanya, minat mendalam terhadap hidupan eksotik itu antara lain adalah kerana keunikan tersendiri haiwan itu dengan lapisan kulitnya berseni serta mudah dipelihara.

Abe yang juga bekas anggota keselamatan itu berkata, hobi memelihara ular sawa batik dianggap paling senang dengan hanya memerlukan penyediaan tempat tinggal selesa selain bekalan makanan mencukupi.

Katanya, dia akan membekalkan daging kira-kira 40 ekor ayam pada setiap bulan untuk dihidangkan kepada haiwan peliharaannya itu.

“Cik Kiah akan diberi makan daging kira-kira 10 hingga 15 ekor ayam sekali setiap dua minggu mengikut kesesuaian moodnya. Selain itu, saya juga menyediakan bekalan air yang diisi di dalam bekas besar di biliknya.

“Anggaran kos pembelian makanannya pula menelan belanja RM500 hingga RM600 sebulan dan saya akan memastikan agar bekalan makanannya tidak terputus,” katanya yang merupakan seorang peniaga.

Selain Cik Kiah, dia turut memelihara enam ekor lagi ular sawa batik di kediaman yang disewa khas untuk reptilia itu di Balik Pulau.
Abe yang mempunyai kemahiran dalam bidang pertukangan kayu turut tidak melepaskan peluang mengubah suai tempat tinggal Cik Kiah bersama enam lagi haiwan peliharaannya itu.

“Bagi memastikan keselesaan untuknya (Cik Kiah), saya mengubah suai dan membina sendiri tempat tinggalnya seperti habitat asal dengan menggunakan ranting-ranting kayu di segenap dinding bilik serta batang pokok merbau yang direka menjadi katil bertiang.

“Enam lagi reptilia diletakkan di tempat berasingan di dalam rumah yang sama.

“Saya turut menempatkan katil kayu buatan sendiri di situ sebagai tempat saya berehat dan beradu pada setiap hari,” jelasnya yang turut mendapat sokongan isterinya, Hazana Hasbullah, 36.

 

SALAH seekor ular sawa batik peliharaan Abe selain Cik Kiah.

Hati kental dan tenang

Dalam pada itu, dia mendakwa yang Cik Kiah adalah sebahagian terapi jiwanya selain dikatakan dapat merehatkan minda, menghilangkan tekanan kerja serta merawat duka lara hatinya.

“Mungkin dengarnya agak pelik tetapi hakikatnya Cik Kiah adalah makhluk yang dapat mententeramkan jiwa dan perasaan saya.

“Kasih sayang saya terhadap Cik Kiah tidak dapat dinilai dengan mata kasar memandangkan tempoh penjagaannya hampir mencecah dua dekad, itu satu angka yang besar. Oleh itu, kami seperti sudah ada talian saudara,” selorohnya yang turut memberi khidmat bantuan menangkap ular untuk pelbagai agensi keselamatan.

Abe memberitahu, dia pernah berdepan pengalaman digigit ular peliharaan kurang daripada lima kali tetapi bukannya Cik Kiah.

“Hendak membela reptilia ini seharusnya memerlukan hati yang kental dan tenang selain mempunyai sifat kasih sayang terhadap haiwan.

“Terdapat dua sebab utama ular peliharaan kita menjadi agresif iaitu apabila merasa diri tertekan atau terancam ketika hendak makan.

“Si pemeliharanya perlu mempunyai kemahiran sebelum membela dan menguruskan reptilia ini.

 

ABE turut mendampingi ular di dalam rumah.

 

“Elemen kandang yang tidak sesuai juga antara penyebab haiwan peliharaan ini bertindak agresif. Namun demikian, saya juga amat menitikberatkan suhu kandang dan penggunaan cahaya lampu kerana penting untuk proses penghadaman makanan dan kulitnya,” katanya.

Kongsinya lagi, Cik Kiah mula dikenali ramai apabila rakaman video haiwan itu mengeluarkan najis seakan-akan isi durian Musang King menjadi tular di Facebook miliknya awal tahun ini dan mendapat hampir dua juta tontonan.

Tambahnya, setiap aktiviti Cik Kiah juga akan dimuat naik menerusi saluran YouTube Mohicanz exotic dari semasa ke semasa. Kini saluran itu semakin mendapat sambutan dalam kalangan peminat haiwan eksotik di negara ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN