fbpx
GAMBAR HIASAN

Ramai cerai pada usia emas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Bertemu semula dengan kekasih lama dan tidak boleh menerima keadaan pasangan menghidap penyakit kronik menjadi antara punca kes penceraian dalam kalangan warga emas di negeri ini meningkat.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (Jaheaik), Datuk Che Mohd Rahim Jusoh berkata, kes perceraian melibatkan warga emas juga kebanyakannya berpunca daripada penggunaan media sosial.

Menurut beliau, punca itu menyebabkan mereka lupa tanggungjawab masing-masing sehingga akhirnya berlaku perpisahan ketika usia menginjak senja.

“Masalah ini (cerai) masih boleh diatasi. Salah satu faktor dipercayai berpunca daripada penggunaan media sosial, namun ia tidak begitu serius.

“Berdasarkan statistik, perceraian individu yang berusia 50 tahun ke atas meningkat sejak tiga tahun lalu melibatkan golo­ngan lelaki (memfailkan kes) ia­itu sebanyak 603 kes berbanding wanita iaitu 333 kes,” katanya ketika ditemui Kosmo! Ahad di sini baru-baru ini.

Dalam tempoh empat tahun sehingga September lalu, tuntutan perceraian oleh lelaki warga emas berjumlah 2,080 kes, manakala wanita pula 1,239 kes.

Berdasarkan data Jaheaik, kebanyakan kes perceraian berlaku selepas usia perkahwinan melangkaui 10 hingga 20 tahun, malah ada yang bosan dengan pasangan mereka yang menghidap pelbagai penyakit kronik.

“Meskipun sudah 20 tahun berkahwin, ada pasangan yang masih belum matang membuat keputusan. Disebabkan itu, ba­nyak alasan kurang munasabah diberikan untuk bercerai.

“Mereka berkahwin berpuluh tahun, namun masih tiada persefahaman. Kita boleh membuat kesimpulan usia pernikahan lama tidak menjamin ke­langsungan perkahwinan,” ­katanya.

Sementara itu, Abdullah Mohamed, 62, berkongsi cerita berpisah dengan bekas isterinya ketika berusia 55 tahun kerana wanita itu terlalu cemburu di­sebabkan dia mempunyai ramai kenalan perempuan.

“Selepas bercerai dengan isteri pertama, saya bernikah se­mula, namun tak kekal dan hanya bertahan selama setahun.

“Punca perceraian disebabkan tiada persefahaman. Pada masa itu, masing-masing sibuk dengan media sosial untuk berhubung dengan bekas kawan lama,” ­katanya.

Abdullah berkata, dia kini hidup sebatang kara kerana sudah serik dan bosan dengan sikap wanita terutamanya yang dikenalinya menerusi media ­sosial.

Sementara itu, pesakit kronik, Mohd. Sabri Shafei, 47, membe­ritahu, dia berpisah dengan isterinya enam tahun lalu selepas pendapatannya terjejas dan tidak mampu memberi nafkah kepada wanita itu untuk me­nyara tiga anak mereka.

“Kami kerap bertengkar sebab masalah kewangan. Jadi saya buat keputusan untuk bercerai dan balik ke kampung di Melor di sini,” katanya yang menghidap ken­cing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Dalam pada itu, Siti Fatimah Daud, 52, dari Kampung Telok Rejuna di sini berkata, dia berpisah dengan bekas suaminya dua tahun lalu menerusi aplikasi WhatsApp selepas lelaki itu mengetahui dia menghidap pe­nyakit buah pinggang kronik.

“Saya reda dan kini terpaksa menyara empat anak termasuk dua daripadanya orang kelainan upaya.

“Begitulah sikap lelaki yang begitu mudah melafaz talak apabila dia berasa bosan hidup bersama keluarga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN