fbpx
Anggota pihak berkuasa sedang meletakkan beg activated carbon bagi mengelakkan pencemaran terus mengalir ke Sungai Kundang.

Kepantasan LUAS, Air Selangor elak pencemaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM – Tindakan pantas pihak berkuasa berjaya mengelakkan kemungkinan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) sekali lagi dalam tempoh empat hari apabila mengesan pencemaran bau di Sungai Kundang tengah malam tadi.

Lembaga Urus Air Selangor ( LUAS) berkata, pihaknya bersama Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. ( Air Selangor) telah mengesan bau di udara berhampiran kawasan perumahan Saujana, Rawang semasa pemantauan Ops Sumber Air.

Katanya, pensampelan bau air di Sungai Kundang kemudiannya dilakukan dengan mengesan berada di tahap 4 ton.

“Siasatan di kawasan Taman Velox, Rawang mendapati kawasan takungan bersebelahan longkang berhampiran Loji Rawatan Kumbahan (LRK) Indah Water Konsortium (IWK) telah melimpah disyaki bocor.

“Ini berkemungkinan disebabkan hujan lebat di sekitar kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasminya, sebentar tadi.

LUAS menambah, sebanyak 14 beg activated carbon diletakkan di aliran keluar dan di dalam takungan kawasan longkang berhampiran LRK IWK itu.

Ujarnya, pihak IWK sedang melaksanakan tindakan pembersihan dan kawalan di kawasan berkenaan.

“Tiada henti tugas LRA dan gangguan bekalan air dilaporkan,” jelasnya.

Selasa lalu, empat LRA iaitu Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran di Sungai Selangor.

Pencemaran tersebut disebabkan pembuangan sisa industri dari sebuah premis penstoran haram di Jalan Velox 2 di lurang kumbahan sehingga memasuki LRK IWK dan mengalir ke Sungai Selangor.-K!ONLINE

POPULAR