fbpx

3.9 juta penduduk hidap diabetes

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Dianggarkan seramai 3.9 juta atau 18.3 peratus penduduk yang berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes berdasarkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi pada tahun lepas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah tersebut, dianggarkan satu daripada dua pesakit atau 50 peratus tidak mengetahui mereka menghidap penyakit diabetes sehinggalah saringan gula dalam darah dilakukan.

Menurutnya, laporan National Diabetes Registry 2013 – 2019 pula menganggarkan hanya 32.4 peratus pesakit diabetes yang mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan mencapai tahap kawalan diabetes yang optimum.

“Penyakit ini bukan sahaja memberikan kesan negatif terhadap kualiti hidup dan kos penjagaan kesihatan, ia juga menambah beban ekonomi individu, keluarga dan masyarakat serta mengurangkan produktiviti negara.

“Pada tahun 2017, dianggarkan jumlah beban penyakit tidak berjangkit utama (kardiovaskular, diabetes dan kanser) terhadap ekonomi negara ialah sebanyak RM100 bilion.

“Ia bersamaan 7.35 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan diabetes menyumbang sebanyak RM10 bilion daripada jumlah tersebut,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini semalam.

Beliau berkata, dari segi kos produktiviti, kerugian sebanyak RM5.7 bilion dilaporkan akibat penyakit diabetes, berbanding dengan penyakit kardiovaskular iaitu sebanyak RM2.9 bilion dan RM357 juta bagi kanser.

Noor Hisham berkata, kebanyakan insiden diabetes boleh dicegah melalui amalan gaya hidup sihat selain boleh dikesan awal dengan saringan berkala.

“Kepatuhan terhadap rawatan dan nasihat anggota kesihatan serta amalan gaya hidup sihat mampu mengawal diabetes ke tahap yang optimum dan mencegah komplikasi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sempena Hari Diabetes Sedunia hari ini, sambutan kali ini bertemakan ‘Diabetes: Jururawat Nadi Perubahan’ bertujuan meningkatkan tahap kesedaran masyarakat mengenai peranan penting jururawat dalam aktiviti pencegahan dan kawalan diabetes di Malaysia dan di seluruh dunia.

Beliau menambah, peranan jururawat dan kakitangan sokongan yang lain sebagai barisan hadapan amat penting dalam pengurusan pesakit diabetes, lebih-lebih lagi dengan peningkatan jumlah pesakit setiap tahun.

Justeru, Noor Hisham berkata, sempena Hari Diabetes Sedunia tahun ini, Kementerian Kesihatan (KKM) ingin menyarankan kepada semua rakyat untuk mengambil langkah-langkah dalam mencegah dan mengawal penyakit diabetes melalui amalan gaya hidup sihat.

“Amalkan pemakanan seimbang, gaya hidup yang aktif, tidak merokok, memupuk minda sihat dan menghindari daripada pengambilan alkohol yang berlebihan.

“Lakukan saringan kesihatan secara berkala dengan memeriksa status indeks jisim tubuh (BMI), tekanan darah, paras gula dan paras kolesterol dalam darah.

“Untuk pesakit diabetes, pemantauan kendiri paras gula dalam darah sangat digalakkan dan boleh dilakukan sendiri di rumah menggunakan glucometer,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, KKM telah merangka pelbagai program dan aktiviti berkaitan dengan pencegahan dan kawalan penyakit tidak berjangkit termasuk memperkukuhkan semula program Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) di peringkat komuniti.

Katanya, ia bagi mempromosikan cara hidup sihat dan pengesanan awal penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat setempat di seluruh negara.

Ujarnya lagi, sukarelawan di peringkat komuniti telah dilatih melalui KOSPEN dan program intervensi ini akan dijalankan dengan lebih efektif dan meluas ke arah memperkasakan masyarakat untuk mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat. -K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI