LONDON – Seorang ibu di Britain terpaksa menjadikan cendawan menyerupai karakter animasi popular, Olaf hidangan dalam masakan beriani kerana tidak mahu membiarkannya busuk walaupun dia berhasrat menyimpan cendawan unik itu.
Wanita tersebut menemui cendawan berbentuk seperti karakter kartun Disney popular itu ketika keluar membeli barangan dapur baru-baru ini.
Jennifer Mills, 49, memuat naik gambar cendawan itu di media sosial dan tidak sampai hati untuk memasak tumbuhan mirip watak orang salji itu.
“Semua orang sayangkan Olaf kerana dia sangat comel.
“Sesiapa yang menonton filem Frozen pasti bersetuju dengan saya yang cendawan itu sangat mirip dengan Olaf,” tulisnya pada foto itu.

Menurut Mills, pada mulanya dia menyimpan cendawan itu di atas meja dapur kerana tidak sampai hati menjadikannya sebagai hidangan, demikian menurut akhbar The Sun.
Selepas beberapa hari membiarkan ‘Olaf’ di atas meja dapur, Mills akhirnya mengambil keputusan menggunakan cendawan itu dalam hidangan beriani.
“Saya rasa lebih baik ‘Olaf’ dimakan daripada menjadi busuk dan dibuang ke dalam tong sampah.
“Ternyata ‘Olaf’ menjadi hidangan yang sangat enak untuk kami sekeluarga,” ujarnya.
Frozen (2013) dan Frozen II (2019) adalah filem terbitan Studio Disney yang mencetuskan fenomena di seluruh dunia dan menjadi animasi kegilaan ramai penonton termasuk orang dewasa. – Agensi