fbpx
Pasukan keselamatan menunjukkan rokok yang dirampas menerusi Op Cegah Pati (OCP) Daratan di Kampung Puyut, Lahad Datu. -Foto IHSAN ESSCOM

ESSCOM rampas 390 rokok seludup tanpa cukai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LAHAD DATU – Sebanyak 390 kotak rokok seludup tanpa cukai disembunyikan dalam bonet sebuah kereta dirampas Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) di Kampung Puyut semalam.

Dalam serbuan sekitar pukul 9.15 pagi itu, rampasan dijalankan semua agensi keselamatan bertugas dalam Op Cegah Pati (OCP) Daratan yang diselaraskan oleh ESSCOM dalam usaha memutuskan dan mengekang penularan wabak Covid-19.

Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman berkata, dua individu terbabit dilihat dalam keadaan mencurigakan berlegar-legar di tepi dua kenderaan di kawasan berkenaan ketika sepasukan anggota yang sedang melakukan rondaan OCP Daratan di kawasan itu.

“Bagaimanapun, dua individu itu bertindak melarikan diri menggunakan sebuah bot menuju ke kawasan bakau sebelum menghilangkan diri dalam kawasan gelap apabila cuba didekati anggota bertugas

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan ke atas salah sebuah kenderaan yang terletak tidak jauh daripada kawasan berkenaan menamukan 250 kotak rokok seludup jenis premium dan 140 kotak rokok jenis LA yang disembunyikan dalam bonet kereta jenis Proton Wira.

“Selain rokok, kita turut merampas kenderaan digunakan bagi menyimpan rokok seludup berkenaan.

“Kita menganggarkan nilai keseluruhan rokok yang dirampas sekitar RM8,330 dan dipercayai diseludup bagi pasaran tempatan.

“Ini adalah kejayaan pertama yang pernah dicatatkan OCP Daratan Timur ESSCOM sejak mula diaktifkan pada awal bulan April yang lalu,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Ahmad Fuad berkata, semua barangan rampasan di bawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat di bawa Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau menyatakan pihaknya bakal terus bekerjasama dengan semua agensi penguat kuasa dalam OCP Laut dan Daratan yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Katanya, mereka akan sentiasa memperkemas rondaan dan memperketatkan penguatkuasaan serta kawalan keselamatan di sempadan perairan laut dan daratan di daerah ini bagi mengekang kemasukan PATI dan aktiviti penyeludupan rokok serta barangan terkawal dan bersubsidi lain daripada cuba diseludup ke negara jiran.

Dalam pada itu, beliau berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya didapati ada dalam kalangan komuniti yang bersubahat dan melindungi penyeludup termasuk bersekongkol dengan tekong-tekong darat dan laut. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN