fbpx

K2

Panahan pemanah dasar laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZUBIR sedang beraksi di dasar laut sambil dikelilingi pelbagai spesies ikan.

SEAWAL pukul 7 pagi, susuk tubuh lelaki berketinggian hampir 170 sentimeter itu sudah kelihatan di jeti bersama beberapa barangan peribadi.

Sama seperti pagi-pagi lain pada hujung minggu, Zubir Osman anak kelahiran Pulau Omadal, Semporna, Sabah itu ada misinya tersendiri.

Tujuannya adalah satu, untuk mencari dan mendapatkan seberapa banyak hidupan laut sekali gus mengisi masa lapang bersama rakan-rakan.

Namun, berbeza dengan nelayan atau penangkap hasil laut lain di Semporna, lelaki berusia 50 tahun itu akan menyelam ke dasar laut untuk mendapatkan hasil hidupan laut dengan cara memanah berasaskan kaedah lebih moden sesuai dengan faktor keselamatan di laut pada zaman ini.

Berbekalkan sebatang panah atau dipanggil ‘pana’ diperbuat daripada besi bermutu tinggi dan tahan karat serta barb, magazine, rail dan tali, lelaki itu mula menelusuri kedalaman laut dari atas bot.

“Ditakdirkan anak-anak etnik Sama-Bajau tidak kira lelaki atau perempuan sejak kecil mesti pandai berenang, begitu juga saya.

“Kebanyakan penempatan etnik ini berada di pinggir laut atau di pulau-pulau. Kerana intimnya kami dengan laut, maka anak-anak Sama-Bajau memiliki pelbagai kemahiran misalnya menyelam, berenang selain pelbagai aksi melompat ke dalam laut,” katanya membuka bicara bersama K2.

ZUBIR menyatakan penyelam dan pemanah juga perlu mempunyai kekuatan untuk mendaratkan hasil tangkapan yang berat dan besar. – Foto KOLEKSI ZUBIR OSMAN

Menurutnya, keupayaan mengendalikan tubuh dan minda di dalam laut merupakan kemahiran wajib hingga kaum mereka diberikan pelbagai jolokan seperti gipsi laut dan seafarer. Rakan-rakan dan segelintir komunitinya menggelarkan Zubir sebagai Aquaman Semporna kerana kepakarannya menyelam dan memanah di dasar laut. Cerita Zubir yang merupakan Guru Penolong Kanan di Sekolah Menengah Kebangsaan Tagasan, Semporna, murid-murid di sekolahnya juga memanggilnya Cikgu Zubir Aquaman.

Lokasi memanah

Jelasnya, bagi seorang penyelam dan pemanah, peralatan seperti tipara (gogal berbentuk bulat) merupakan alat paling utama dan asas selain ditemani pana tanpa menggunakan snorkel (alat bantuan pernafasan mulut).

“Apabila penyelam memakai tipara, bukaan mata mereka akan menjadi lebih besar dan pandangan bertambah jelas.

“Ia sekali gus menyebabkan retina dan otak mengadaptasi persekitaran dengan lebih sofistikated dan mangsa (hidupan laut) dapat dilihat dengan lebih jelas,” tuturnya.
Zubir menerangkan, pada masa dahulu para penyelam Sama-Bajau hanya memakai seluar pendek tanpa memerlukan peralatan moden selain berbekalkan sebatang panah seperti tombak dan berkaki ayam.

Namun, keadaan itu berubah seiring peredaran zaman dan keadaan laut yang semakin berbahaya menyebabkan peralatan moden digunakan.

Bapa kepada lima cahaya mata itu berkata, dia juga pada zaman remajanya menyelam secara tradisional dan mengakui kini hampir tiada lagi yang mempraktikkan kaedah lama itu.

Menyentuh mengenai peralatan moden, ia termasuklah penggunaan tangki oksigen selain peralatan keselamatan dan selaman lain seperti kaki itik (fin), sarung tangan dan beberapa alatan lain.

Tambahnya, persediaan yang paling utama adalah dari aspek kesihatan tubuh badan meliputi penglihatan mata yang jelas selain teknik pernafasan yang mantap.

“Tidak dinafikan, ada dalam kalangan etnik kami yang mampu menyelam dengan hanya menggunakan satu tarikan nafas dan berjaya menyelam sedalam 20 meter (m) di dasar laut tanpa menggunakan sebarang peralatan moden hingga 30 minit lamanya,” ujarnya yang mengakui belum mencapai tahap tersebut.

ANTARA hasil tangkapan Zubir yang diraih dengan menggunakan kaedah memanah.

Tambahnya, sebelum penyelam dan pemanah dasar laut turun ke laut, beberapa aspek lain seperti pemilihan lokasi memanah turut perlu ditentukan mengikut keadaan air laut semasa.

Secara umumnya, terdapat empat kategori selaman yang disesuaikan dengan kawasan seperti reef spearfishing, deep spearfishing, blue ocean spearfishing dan night spearfishing.

“Bagi reef spearfishing, ia biasanya terletak di kawasan terumbu karang berhampiran beting pasir dengan kedalaman antara dua hingga 10m menggunakan teknik tarikan satu nafas atau dikenali apnea.

“Kebiasaannya, jenis ikan yang berjaya diraih hasil panahan ini adalah jenis kerapu, belanak, baronang, pari berbisa, bayan, udang kara dan pelbagai spesies ikan terumbu karang.

“Berbeza deep spearfishing, kaedah ini kebiasaannya menggunakan bantuan tangki oksigen yang mencecah kedalaman 10 hingga 40m serta memerlukan penyelam turun ke laut secara kumpulan kecil dengan membawa peralatan dikenali sebagai stinger, sejenis alat bak peluru yang akan dimasukkan ke dalam insang ikan agar hidupan tidak terlepas,” ujarnya.

Tambahnya, bagi blue ocean spearfishing pula, ia hampir sama dengan reef spearfishing, namun tertumpu di kawasan laut dalam dan jenis ikan yang lebih besar menjadi sasaran seperti tenggiri, baraccuda dan giant trevally, manakala night spearfishing pula memerlukan keberanian memanah pada waktu malam ditemani lampu suluh kalis air dengan kedalaman laut mencecah dua hingga 10m.

Cabaran

Kebiasaannya, jika bernasib baik dan mempunyai rezeki, dia boleh meraih kira-kira 10 hingga 50 kilogram (kg) hasil panahan meliputi pelbagai jenis ikan setiap kali turun ke laut.

Menurutnya, hasil tangkapan yang diperolehi tidak akan dijual sebaliknya untuk dimakan sendiri dan diberikan kepada ahli keluarga terdekat agar sama-sama dapat menikmatinya.

Menyentuh mengenai cabaran, graduan lulusan Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu tidak menyangkal pasti ada cabaran tersendiri buat penyelam dan pemanah dasar laut.

Jelasnya, memanah memerlukan kecekalan, kekuatan semangat dan stamina serta kesiapsiagaan yang benar-benar tinggi.

Ujarnya, bukan setakat perlu mahir dan cekap memetik picu (trigger) semasa menghalakan panah pada ‘mangsa’, bahkan harus bersedia untuk mengerah kudrat mendaratkan ikan tersebut.

“Pemanah terpaksa menggunakan sekuat tenaga bagi melawan beberapa jenis ikan yang terkenal dengan sifat agresifnya seperti tenggiri, kerapu dan giant trevally tatkala anak panah berjaya menembusinya.

“Pemanah harus sedar bahawa bahaya sentiasa ada misalnya air berkeladak dan jarak penglihatan agak kabur, arus kuat, air pusar, ombak kuat, angin kencang, batu karang beracun dan lain-lain bahana,” tuturnya yang memberitahu mengikut undang-undang masa kini, pemanah dasar laut juga perlu memiliki kelulusan penggunaan senjata daripada pihak berwajib.

Tambah Zubir, paling menakutkan bagi pemanah dan penyelam tradisional dasar laut ialah serangan ikan yu walaupun ia agak jarang berlaku.

ANTARA aksi menarik Zubir semasa melakukan selaman untuk mendapatkan hasil laut dengan memanah.

Berkongsi pengalaman cemas yang tidak mungkin dilupakan sebagai pemanah dasar laut, dia pernah ditarik ikan jenis tenggiri seberat 35kg sejauh hampir 100 meter ke tengah laut, namun berjaya melawan semula menggunakan kudrat serta teknik tertentu.

Bagi Zubir, walaupun arus pemodenan begitu pesat pada masa kini, tradisi serta adat sejak ratusan tahun wajib dikekalkan termasuklah mencari rezeki menggunakan kaedah memanah.

Ini kerana, memanah merupakan antara cara menangkap ikan paling semula jadi kerana sasarannya cuma satu selain tidak merosakkan hidupan marin lain termasuk terumbu karang berbanding penggunaan pukat, bom dan racun sianida.

Katanya, memanah ikan sewajarnya dijadikan sukan ekstrem selain berfaedah untuk kelestarian sumber alam bagi jangka panjang.

“Di Malaysia, sukan memanah ikan di dalam laut masih asing, namun tidak di beberapa negara lain seperti Qatar, Maldives dan New Zealand yang mengiktiraf memanah ikan sebagai sukan berprestij,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI