fbpx
Sijil perakuan daripada Muzium Dinar Islam Kerajaan Arab Saudi yang dipercayai palsu turut dipamerkan pada pameran itu sejak 20 Oktober lalu.

Pameran tiada kelulusan JHEAIK

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA BHARU – Pameran Artifak Rasulullah SAW dan Sahabat yang dianjurkan Madrasah Ribat Al-Mustafa, Pulai Chondong di Machang dekat sini baru-baru ini tidak mendapat kelulusan daripada pihak jabatan agama.

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK), Datuk Che Mohd. Rahim Jusoh berkata, pihaknya khuatir akti­viti yang dianjur selama lebih dua ming­gu berakhir kelmarin itu boleh mengelirukan masyarakat me­ngenai sejarah Nabi Muhammad.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati bara­ngan yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW yang dipamerkan adalah tidak benar.

“JHEAIK menafikan dakwaan kami membantu penganjur menjayakan pameran itu seperti yang dinyatakan oleh mudir madrasah itu di dalam media sosial.

“Saya juga menasihatkan masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan perkara yang boleh merosakkan akidah,” katanya secara eksklusif kepada Kosmo! di sini semalam.

Difahamkan, beberapa bara­ngan yang dikaitkan dengan Rasulullah seperti rambut, janggut, darah, peluh dan tongkat dipamerkan pada pameran itu.

Jelas beliau, JHEAIK dimaklum setiap barangan yang dipamerkan memiliki sijil perakuan daripada Muzium Dinar Islam Kerajaan Arab Saudi.

“Muzium Dinar Islam membenarkan syiling dinar sahaja, tetapi tidak melibatkan artifak sejarah tinggalan Rasulullah.

“Kita telah mengadakan me­syuarat dengan agensi berkaitan berkenaan kesahihan dokumen itu,” katanya.

Tambah beliau, penganjur tidak pernah merujuk dengan mana-mana jabatan berkaitan sebelum menganjurkan pameran itu pada 20 Oktober lalu.

“Pameran ini boleh mengelirukan masyarakat terutama umat Islam sehingga boleh terpesong akidah kerana terlalu taksub dengan barangan itu,” katanya.
Pameran artifak di Kelantan itu adalah yang keempat di negara ini selepas Sela­ngor, Melaka dan Terengganu.

“Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN