JOHOR BAHRU – Pertubuhan Ihsan Johor menerbangkan seramai 10 orang sukarelawan ke Semporna, Sabah, hari ini bagi menjalankan misi bantuan kemanusiaan dalam mengurangkan penularan wabak Covid-19.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Farrah Faridah Baptist, walaupun Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah ditamatkan pada Jumaat lalu, namun keperluan serta sukarelawan masih diperlukan di sana.
Katanya, menerusi fasa kedua misi pertubuhan terbabit, seramai empat sukarelawan berangkat ke Tawau menerusi penerbangan Malaysia Airlines manakala selebihnya akan berangkat dalam masa terdekat dengan penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Berkaitan gelombang ketiga pandemik Covid-19 di Sabah, daerah Semporna menjadi antara yang sangat terkesan. Jadi, sukarelawan Ihsan Johor akan kerjasama bersama Semporna Heroes, salah satu badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, yang bergerak aktif membantu komuniti di Semporna.
“Antara skop utama tugas yang akan dikendalikan oleh mereka adalah membantu pihak hospital dan pusat kuarantin selama dua minggu selain menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk,” katanya kepada pemberita di sini tadi.
Farrah Faridah berkata, Ihsan Johor telah menghantar bantuan makanan seberat 300 kilogram (kg) ke Semporna pada Sabtu lalu.
Antaranya ialah susu tepung bayi tajaan Promac Industries Sdn. Bhd. dan mi segera tajaan Win Far Trading Sdn. Bhd. serta keperluan set peralatan perlindungan diri (PPE) seperti pelitup muka, gaun isolasi dan pelitup muka menerusi fasa satu misi bantuan berkenaan.
Tambahnya, kedatangan enam lagi sukarelawan ke daerah terbabit dalam masa terdekat akan membawa bersama barang sumbangan yang telah berjaya dikumpulkan di negeri ini seberat lebih 2,000 kg. -K ONLINE














