BATU PAHAT – Seorang lelaki berusia 42 tahun direman tujuh hari hingga Sabtu depan bagi membantu siasatan pembunuhan penjual tauhu bakar yang ditemui dalam semak berdekatan kawasan perumahan di Yong Peng, semalam.
Perintah tahanan reman terhadap suspek warga tempatan itu dikeluarkan Majistret Nurul ‘Izzati Mohamad mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, suspek tiba dengan menaiki trak polis di pekarangan Mahkamah Majistret Batu Pahat pada 8.15 pagi.
Kelmarin tular mengenai pencarian mangsa yang dikenali sebagai Ijah oleh ahli keluarganya di laman media sosial selepas wanita itu tidak pulang ke rumah sebaik habis berniaga di pekan Yong Peng, seperti kebiasaannya.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Azhan Abdul Halim berkata, mayat wanita itu ditemui penduduk yang melalui kawasan berkenaan pada 8 pagi semalam sebelum memaklumkan kejadian kepada polis.
Katanya, sepasukan polis dikejarkan ke tempat kejadian bersama Pasukan Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) daripada Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Johor untuk membantu siasatan.-K! ONLINE