IPOH – Perak melangkah ke suku akhir Piala Malaysia dengan bergaya apabila menyingkirkan Kelantan United dengan jaringan 4-0 di Stadium Perak di sini sebentar tadi.
Dalam perlawanan antara dua pasukan yang berbeza kelas itu, tuan rumah menguasai perlawanan dari awal sepak mula.
Walaupun pelawat cuba bangkit tetapi jelas tidak mempunyai kemampuan untuk menandingi juara Piala Malaysia 2018 itu.
Malam ini jelas milik Leandro Dos Santos yang menyumbang hatrik untuk membawa Perak ke suku akhir pertandingan piala berprestij itu.
Satu lagi gol disumbang Raianderson Da Costa Morais atau Careca di minit-minit akhir perlawanan.
Pelawat yang tampil dengan tekad menyerang habis-habisan gagal melaksanakan percaturan Ketua Jurulatih Nazrulerwan Makmor.
Sebaliknya The Bos Gaurus terlebih dahulu bersorak ketika perlawanan baru berlangsung enam minit apabila membuka jaringan melalui Leandro Dos Santos.
Pemain itu menanduk masuk dari sepakan sudut pertama perlawanan oleh Mohammad Firdaus Sayadi untuk meletak Perak di hadapan.
Perak melebarkan jurang kedudukan tetapi Muhammad Shahrel Fikri Md. Fauzi yang mempunyai tugas mudah menjaring gol gagal menyudahkan bola silangan rakan pada minit ke-14.
Bagaimanapun tindakan bijak pemain itu membuka ruang buat Leandro yang mudah menolak bola melepasi jangkauan penjaga gol Kelantan United, Muhamad Syazwan Yusoff untuk gol kedua peribadinya dan Perak tujuh minit kemudian.
Dua minit saingan babak kedua berlangsung Leandro mengukuhkan kedudukan tuan rumah apabila menyambung hantaran Careca untuk menjadikan kedudukan 3-0..
Selepas gol itu, Perak mengendurkan permainan tetapi pelawat gagal menggunakan keadaan untuk menggugat anak buah, Mehmet Durakovic.
Careca kemudian melengkapkan kemenangan penuh bermakna buat The Bos Gaurus apabila menjaringkan gol keempat Perak. -K! ONLINE