fbpx

Passat R-Line tambah seleksi jentera Volkswagen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASSAT R-Line baharu padat dengan ciri keselamatan premium.

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menerusi siaran langsung di saluran media sosialnya baru-baru ini melancarkan Passat R-Line baharu di pasaran negara ini.

Model yang lebih sporty daripada Passat Elegance itu dipasang secara tempatan di kilang Volkswagen di Pekan, Pahang.

Mengambil inspirasi daripada model-model Volkswagen R, rangkaian R-Line direka untuk pemandu yang ingin menyerlahkan individualiti dan mahukan sebuah jentera lebih sporty, selain mempunyai nilai hebat.

Model sedan dinamik itu didatangkan dengan kemasan luaran dan dalaman yang meningkatkan lagi penampilan secara keseluruhannya.

Ia merangkumi bampar R-Line di hadapan dan belakang, lencana R-Line pada bahagian sisi, kemasan krom dan rim aloi Verona bersaiz 19 inci.

Signatur model Volkswagen diserlahkan menerusi sistem lampu utama LED sepenuhnya, lampu isyarat membelok berturutan dan rekaan tiga sayap untuk lampu belakang.

Bahagian dalaman Passat R-Line lebih menonjol berbanding pesaingnya dengan kemasan dan material baharu. Ini termasuklah kemasan dekoratif Dark Diamond Flag baharu dan bumbung hitam agar kelihatan lebih premium.

REKAAN papan pemuka Passat R-Line kelihatan praktikal dan moden.

Identiti R-Line dapat dilihat dengan jelas pada tempat duduk, kemasan kulit stereng multi fungsi yang lengkap dengan paddle shift dan butang yang ergonomik, selain pedal sports serta plat pelindung hadapan dan belakang aluminium.

Passat R-Line dipasang dengan kerusi elektrik ErgoComfort yang dibalut kulit Nappa gayaan karbon untuk keselesaan optimum. Tempat duduk pemandu juga hadir dengan fungsi memori dan urutan.

Nilai estetika ruang kabin disempurnakan dengan fungsi lampu ambien yang membolehkan pemandu memilih daripada 30 warna. Lampu ambien itu juga dinyalakan pada sistem infotainment dan Digital Cockpit.

Passat R-Line menggunakan enjin turbo 2.0TSI baharu dipadankan dengan kotak gear direct shift (DSG) klac basah tujuh kelajuan baharu serta telah ditambah baik, ia mampu menjana kuasa 190PS dan tork 320Nm.

Penjimatan bahan api Passat R-Line cukup mengagumkan dengan anggaran sekitar 6.5 liter per 100 kilometer, berdasarkan kepada data pemanduan dalam dunia sebenar yang digariskan oleh pihak Prosedur Ujian Kenderaan Ringan Seluruh Dunia (WLTP).

Jentera itu juga didatangkan dengan ciri dynamic chassis control (DCC).

Pemandu boleh memilih salah satu daripada tiga mod pemanduan yang disediakan iaitu sport dengan peredam lebih keras, comfort atau normal.

Dengan ciri driving mode selection (DMS), pemandu boleh memilih corak pemanduan yang disukai sama ada eco, comfort, normal, sport dan individual yang boleh diubah suai.

Passat R-Line baharu padat dengan ciri keselamatan premium. Ini termasuklah ciri rear cross traffic alert dengan julat pengesanan 180 darjah sehingga 50 meter.

Ciri bantuan sisi pula membantu mengesan objek di kawasan titik buta sehingga 70 meter dengan jarak pengesanan 110 darjah apabila kenderaan ini bergerak.

Satu lagi ciri keselamatan penting ialah sistem electronic differential lock (XDS) yang berfungsi menambah baik aspek cengkaman dan mengurangkan masalah understeer.

Passat R-Line dilengkapi ciri sistem pengesanan tekanan tayar baharu yang memantau tekanan setiap tayar, manakala brek pergerakan pula akan menekan brek secara automatik untuk menghalang pelanggaran apabila ia mengesan objek pada kelajuan sehingga 10 kilometer sejam.

Ciri keselamatan lain yang didatangkan sebagai standard adalah kawalan penstabilan elektronik (ESC), brek anti kunci (ABS), bantuan brek (BA), sistem respons pelanggaran pintar (ICRS), Hill-hold Control, Automatic Post-Collision Braking System dan sistem perlindungan penumpang proaktif.

Sama seperti semua model Volkswagen, aspek kemudahan dan keselesaan tidak diabaikan. Jadi, ciri-ciri seperti kokpit digital boleh ubah dan App-Connect Apple Car Play tanpa wayar menawarkan ketersambungan pantas buat pemandu.

Kokpit digital bersaiz 11.7 inci menawarkan tahap kejelasan terbaik menerusi paparan warna beresolusi tinggi seperti sebuah telefon pintar premium.

Skrin itu menawarkan enam pandangan skrin boleh ubah yang diakses secara pintar di hujung jari bersama pilihan 30 kombinasi, termasuklah navigasi 2D dan 3D.

Sistem infotainment boleh diakses menerusi skrin sentuh Discover Pro bersaiz 9.2 inci.

BAMPAR R-Line menyerlahkan sisi garang jentera ini.

Navigasi sistem tersebut boleh dilakukan dengan mudah menerusi arahan suara, kawalan gestur dan skrin yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian.

App-Connect boleh digunakan dengan Android Auto, Mirrorlink pula menggunakan Type C USB, selain ketersambungan Apple Car Play tanpa wayar.

Ruang penyimpanan barangan Passat R-Line adalah seluas 586 liter, manakala fungsi Easy Open tanpa sentuhan menggunakan sensor pada bahagian belakang untuk membuka but secara elektronik apabila mengesan pergerakan kaki pemandu di bawah bampar belakang.

Passat R-Line baharu hadir dengan sistem bunyi Helix 300W Soundbar bernilai RM2,400. Aksesori yang perakui oleh Volkswagen itu dihasilkan oleh pakar audio hi-fi, HELIX dan dipasang di ruang penyimpanan barang kenderaan.

Soundbar itu merupakan sebuah amplifier lima saluran dengan pemproses bunyi dan subwoofer bersepadu.

Passat R-Line didatangkan dalam enam warna yang terdiri daripada empat warna metalik iaitu biru (Aquamarine Blue), coklat (Tamarind Brown), kelabu (Manganese Grey) dan perak (Reflex Silver).

Dua warna mutiara iaitu hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White) juga ada ditawarkan tanpa caj tambahan.

Passat R-Line baharu ditawarkan pada harga cadangan RM208,888 dan ia hadir bersama penyelenggaraan percuma selama tiga tahun, jaminan selama lima tahun tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan untuk lima tahun.

Dengan pengecualian cukai yang diberikan oleh kerajaan sekarang, Passat R-Line baharu kini berharga RM203,411.18 sehingga 31 Disember ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI