PASIR PUTEH – Seorang lelaki warga Myanmar cedera parah di bahagian leher selepas dipercayai terlibat dalam pergaduhan di sini petang semalam.
Lebih mengerikan, leher lelaki itu kelihatan seperti dia disembelih, namun kejadian itu tidak mengorbankan nyawanya.
Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Deputi Superintendan Azmir Damiri, susulan kejadian itu, warga asing itu kini sedang dirawat di wad kecemasan Hospital Tengku Anis (HTA) di sini semalam.
Katanya, polis menerima panggilan dari pihak hospital yang memaklumkan bahawa seorang warga asing lelaki cedera parah untuk tindakan lanjut.
“Hospital mengesyaki sesuatu terhadap pesakit itu sebelum bertindak menghubungi polis pada pukul 7.30 malam tadi.
“Bagaimanapun, saya tidak boleh mengesahkan kecederaan itu berpunca daripada pergaduhan atau dia disembelih. Polis masih menyiasat kejadian itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Azmir, orang ramai atau netizen di media sosial tidak perlu membuat spekulasi tanpa bukti dan serahkan tugasan siasatan kepada polis untuk mencari fakta sebenar kejadian.
Katanya, siasatan akan dijalankan secara berperingkat memandangkan keadaan mangsa agak parah pada bahagian leher sehingga menyebabkan dia tidak boleh bercakap.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang pengenalan diri, memiliki tatu dan dipercayai warga negara Myanmar.
“Kami perlu meneliti dan menjalankan siasatan lanjut,” tegasnya.
Satu rakaman video berdurasi 33 saat tular di aplikasi WhatApp yang memaparkan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dengan leher yang cedera malam tadi. – K! ONLINE














