fbpx

Belanjawan 2021 paling dinantikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NELAYAN laut dalam, Mamat Muda, 69, dari Chendering, Terengganu antara individu yang mengharapkan sesuatu daripada kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2021 hari ini. – PUQTRA HAIRRY

KUALA LUMPUR – Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini membawa bersama segunung harapan 32.7 juta rakyat yang ingin melihat bagaimana kerajaan dapat membantu meringankan beban kehidupan mereka sejak penularan pandemik Covid-19.

Paling dinantikan tentunya bantuan jangka pendek pembe­rian wang tunai kepada kumpulan terjejas seperti go­longan berpendapatan rendah, pekerja per­khidmatan e-hailing dan peniaga kecil serta mereka yang kehilangan pekerjaan.

Golongan berpendapatan rendah biasanya merujuk kepada kumpulan isi rumah B40 yang rata-rata mewakili ibu tunggal, petani dan nelayan, pemandu teksi, peniaga jalanan, pemandu e-hailing, operator kilang dan pekerja bawahan dalam sektor swasta.

Cadangan pengeluaran daripada akaun 1 caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga RM10,000 secara one-off yang ditimbulkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak antara yang paling mendapat sokongan oleh rakyat.

Harapan ini makin melonjak apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri dilihat seolah-olah melakukan pusingan ‘U’ daripada menyifatkan permintaan itu sebagai sukar pada 30 Oktober, kepada menyatakan kerajaan akan mengkaji saranan berkenaan.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan Universiti Kewa­ng­an Islam Global (Inceif), Prof. Madya Dr. Baharom Abdul Hamid berkata, antara permintaan rak­yat baik golongan B40, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mahupun M40 ialah supaya kerajaan melanjutkan moratorium bayaran balik pinjaman bank.

Jelasnya, ia penting bagi membantu meringankan beban kewangan, memulihkan semula ekonomi atau memperkasakan kembali institusi keluarga dalam saat-saat sukar sekarang.

“Ia wajar diberikan sekurang-kurangnya sehingga Jun 2021,” katanya.

Bagi Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff, daripada empat tema Belanjawan 2021 iaitu Memperkukuh Kesejahteraan Rakyat,

Memacu Pertumbuhan Ekonomi, Mengupaya Kehidupan Lestari dan Memperkasa Penyampaian Awam, dua fokus pertama amat penting.

“Saya menjangkakan inisiatif yang telah dilaksanakan dalam pelan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) akan diteruskan pada Bajet 2021.

“Ini termasuk Bantuan Sara Hidup, subsidi upah, geran dan pinjaman kepada PKS serta peruntukan untuk pembangunan modal insan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI