fbpx

MRTE labur RM10 juta bangun M-BOT

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Syarikat perkhidmatan teknologi, MRTE (M) Sdn. Bhd. (MRTE) berhasrat untuk melancarkan sistem pro­ses automasi robotik (RPA) miliknya yang didaftarkan di bawah nama M-BOT pada Disember ini.

Sistem canggih berkenaan, yang melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama 26 bulan serta menelan kos RM10  juta itu merupakan perisian perniagaan yang berteraskan teknologi robotik dan boleh ditugaskan untuk melaksanakan tugasan rutin ha­rian.

Pengarah Urusan MRTE, Datuk Badrul Hisham Ramli berkata, buat masa ini terdapat dua organisasi yang telah menyatakan minat untuk melanggan sistem berkenaan iaitu masing-masing daripada sektor logistik dan sektor pembekalan air.

Jelasnya, M-BOT boleh digunakan bagi memudahkan dan menjadikan tugasan lebih efisien dalam pelbagai industri seperti sektor awam, perbankan, telekomunikasi, pengangkutan, perubatan dan pendidikan.

“Sasaran utama kami adalah pihak kerajaan, kami melihat banyak ruang dan peluang bagaimana sistem ini mampu meningkatkan hasil kerajaan serta mengurangkan kos misalnya dalam segmen pencukaian dengan mengelakkan ketirisan atau penipuan cukai oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Selain itu, di sektor pendidikan pula, ia mampu menjalankan tugasan lazim seperti membantu menyiapkan laporan harian, laporan kedatangan murid dan mengemas kini keputusan akademik pelajar, seterusnya me­ngurangkan beban guru,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Menurut Badrul, teknologi RPA kini semakin mendapat permintaan terutamanya di pasaran luar negara dengan sebuah kajian merumuskan bahawa pasaran RPA dijangka mengalami kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) memberangsangkan iaitu sebanyak 40.6 peratus bermula 2020 hingga 2027.

Katanya lagi, nilai pasaran RPA pula dijangka mencecah AS$25.56 billion (RM106 bilion) pada tahun 2027.

“Contoh aplikasi RPA ialah di United Kingdom, sistem tersebut digunakan bagi menguruskan bantuan kepada rakyat dan syarikat yang terjejas akibat pandemik Covid-19. Teknologi RPA juga dapat membantu menjejaki peni­puan dalam agihan bantuan oleh kerajaan.

“Syarikat kami turut bercadang untuk bekerjasama de­ngan institusi-institusi pendidikan tinggi bagi menawarkan kursus pembelajaran jangka pendek mengenai aplikasi RPA yang akan memberi nilai tambah kepada pelajar bermula tahun depan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI