IPOH – Polis menumpaskan sindiket macau scam dengan penahanan 22 individu dalam serbuan di sebuah kondomium di Sri Petaling, Kuala Lumpur pada 30 Oktober lalu.
Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng berkata, serbuan dilakukan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis (IPD) Ipoh dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman.
Menurutnya, suspek yang ditahan merupakan warga tempatan terdiri daripada 18 lelaki dan empat wanita tempatan berusia antara 18 hingga 27 tahun.
Beliau berkata, sindiket berkenaan dipercayai terlibat dalam 76 kes penipuan melibatkan kerugian RM11 juta sejak beroperasi dua tahun lalu.
“Sindiket ini menjadikan sebuah kondominium di Sri Petaling sebagai call centre atau pusat panggilan untuk kegiatan mereka.
“Dalam serbuan pada pukul 5 petang 30 Oktober lalu, polis merampas 34 unit telefon bimbit pelbagai jenis, tiga komputer riba, 25 unit i-Pad, satu unit tablet dan sebuah kereta,” katanya pada sidang akhbar di IPK Perak di sini hari ini.
Menurutnya, sindiket tersebut berjaya dibongkar berikutan laporan yang dibuat oleh seorang wanita pada 20 Oktober lalu di Balai Polis Simpang Pulai dekat sini setelah dia menyedari ditipu.
Menurutnya, wanita berkenaan diperdaya kononnya telah terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM148,000 dan mengugut mangsa akan ditangkap.
Katanya, mangsa yang ketakutan, telah mengikut arahan sindiket dengan memasukkan wang berjumlah RM67,000 dalam akuan di dua buah bank.
Beliau berkata, berdasarkan siasatan, modus operandi sindiket itu ialah menyamar sebagai pegawai Pos Malaysia dan pegawai polis dari IPK Sabah dan Terengganu.
“Daripada i-Pad yang dirampas, polis menjumpa skrip yang digunakan untuk menipu mangsa dalam tiga bahasa iaitu Melayu, Cina dan Inggeris.
“Ini menunjukkan ahli sindiket ini terlatih dengan menggunakan skrip untuk memperdaya dan menyakinkan mangsa,” katanya.
Menurutnya, sindiket itu sebelum ini dipercayai melakukan aktiviti penipuan di negara luar namun balik ke Malaysia berikutan Covid-19 dengan menyasarkan rakyat tempatan sebagai mangsa.
Menurut Boon Keng kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan semua suspek ditahan reman sejak 30 Oktober lalu.
Beliau berkata, polis telah memohon perintah mahkamah untuk melanjutkan tahanan reman terhadap semua suspek hari ini. – K! ONLINE