KOTA BHARU – Bekas tonggak pertahanan Kelantan dan Selangor, Mohd. Shaiful Nizam Hussin, 45, meninggal dunia hari ini akibat penyakit ketumbuhan dalam kepala.
Bapa kepada tiga cahaya mata itu menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 12.30 tengah hari di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.
Abangnya, Mohd. Ausri Hussin ketika dihubungi Kosmo! berkata, Mohd. Shaiful mula menghidap ketumbuhan dalam kepala pada Ogos lalu.
Menurutnya, pada peringkat awal, dia mengalami pening kepala dan muntah-muntah.
“Dia dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan menggunakan kaedah pengimejan diagnostik (MRI).
“Hasil pemeriksaan mengesahkan arwah menghidap ketumbuhan dalam kepala,” katanya.
Ausri berkata, selepas itu, arwah menjalani pembedahan bagi membuang ketumbuhan, namun lebih kurang dua bulan kemudian ketumbuhan tersebut menyerang semula.
Katanya, allahyarham telah menjalani pembedahan kedua bagi membuang ketumbuhan tersebut.
“Hari ini merupakan hari kelapan dia sudah tidak sedarkan siri selepas berlaku pendarahan dalam kepala.
“Dia meninggal dunia dalam keadaan tidak sedar tengah hari tadi,” ujarnya.
Mohd. Shaiful Nizam pernah menyarung jersi skuad senior Kelantan bermula tahun 1996 hingga 2002 sebelum berhijrah menyertai Selangor.
Kejayaan paling manis sepanjang karier beliau adalah membantu Kelantan menjuarai Liga Perdana 2 musim 2000 ketika pasukan itu dibawah kendalian Allahyarham Abdul Rahim Ahmad.
Jenazah Mohd. Shaiful akan dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Tambak, Pintu Geng, dekat sini selepas waktu Asar petang ini. – K! ONLINE














