fbpx

Bulatan Sultan Yussuf dibuka semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Air Pancut Bulat Sultan Yussuf berwajah baru selepas Majlis Perasmian Air Pancut Bulatan Sultan Yussuf di Ipoh. Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Pancuran air di Bulatan Sultan Yussuf kembali menarik perhatian warga bandar ini dengan limpahan cahaya berwarna-warni apabila dibuka semula secara rasminya malam tadi selepas kerja-kerja pengindahan dan menaik tarafnya siap.

Bulatan Sultan Yussuf yang dibina pada tahun 1963 merupakan mercu tanda Ipoh sejak 57 tahun lalu apabila menjadi pintu masuk ke bandar ini.

Ia menemukan empat jalan utama iaitu Jalan Raja Dihilir, Jalan Sultan Nazrin Shah, Jalan Sultan Iskandar and Jalan Sultan Idris Shah.

Projek menaiktaraf air pancut di Bulatan Sultan Yussuf ini yang melibatkan kos RM400,000 merupakan kejayaan kerjasama kerajaan dan swasta menerusi peruntukan daripada Jabatan Perdana Menteri (ICU) dan sumbangan pihak pengurusan Hotel WEIL, Ipoh.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, projek yang dimulakan pada awal tahun ini sepatutnya siap pada Mac tetapi tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan siap pada 20 Oktober lalu.

Menurut beliau, pembukaan semula bulatan tersebut juga adalah bersempena dengan sambut hari keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada November ini.

“Pelaksanaan projek naik taraf bulatan ini melibatkan kerja-kerja pengindahan landskap dan struktur utama air pancut tanpa mengubah struktur asal. Pengindahan struktur air pancut melibatkan penambahan glob yang bercahaya umpama sebutir permata pada bahagian atas mercu struktur sedia ada.

“Selain itu, air pancut ini juga telah dipasang sistem perpaipan dan pam baharu menggunakan teknologi terkini. Limpahan cahaya lampu LED pada pancuran air ini juga akan berubah-ubah mengikut masa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Naik Taraf Bulatan Sultan Yussuf di sini malam tadi yang turut dihadiri Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Bulatan Sultan Yussuf ditutup sejak bulan November tahun lalu susulan rancangan untuk menaik taraf yang telah diluluskan oleh kerajaan negeri.

Lokasinya yang amat strategik kerana terletak di tengah bandaraya Ipoh menjadikan imej bulatan ini kerap digambarkan pada poskad dan kalendar pada tahun 60-an hingga 80-an.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI