fbpx
USOP memasang impian untuk terus dikenali sebagai penyanyi serba boleh yang mampu menyanyi pelbagai jenis genre muzik.

Pernah gelap mata kena kejutan budaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“NAMA saya Muhammad Saiful Naim, orang panggil saya Epul. Yang sebenarnya, saya ini pertama kali masuk uji bakat. Saya menggeletar dan sebenarnya saya sahaja yang boleh rasa.”

Itu pengakuan jujur seorang penyanyi yang kini dikenali dengan nama pentas Usop sewaktu mula-mula menghadiri sesi uji bakat program realiti Mentor Milenia tiga tahun lalu.

Hari ini, pejam celik pejam celik sudah lebih empat tahun dia bergelumang dalam industri muzik tanah air. Dia masih Usop, pemuda naif seperti dahulu.

Kendatipun masih lurus bendul, namun Usop kini lebih matang dalam pergaulan begitu juga saat meleraikan satu demi satu persoalan daripada media.

“Dahulu, saya memang betul-betul macam rusa masuk kampung. Seorang budak kampung yang nak belajar erti hidup di kota metropolitan, Kuala Lumpur.

“Saya akui, ada suatu ketika saya terkena ‘kejutan budaya’ dengan dunia glamor yang sangat mengkhayalkan.

“Saya gelap mata dengan kemewahan, wang ringgit dan kehidupan sebagai seorang artis,” kata pelantun lagu Pencinta Setiamu itu kepada HibGlam baru-baru ini.

Janji bulan dan bintang

Pemilik nama lengkap Muhammad Saiful Naim Muhammad Noor itu kemudian mengakui, untuk terus bernafas dalam industri, setiap penyanyi perlu sedar keberadaan diri, bukannya terus hanyut dibawa deras arus yang tidak tahu ke mana pergi.

 

USOP sebenarnya tidak kisah hanya bergelar naib juara Big Stage 2020 kerana baginya, apa yang penting dia sudah memberi persembahan terbaik dalam program realiti berkenaan.

 

“Semasa dalam Mentor. Orang terjerit-jerit nama saya memberi sokongan ketika membuat persembahan. Selepas saya masuk dalam industri, jeritan-jeritan yang biasa saya dengar itu menghilang hari demi hari.

“Industri hiburan penuh dengan sepak terajang yang kita sendiri tidak sangka boleh wujud. Dijanjikan bulan dan bintang, namun lama-kelamaan, bulan tidak timbul, bintang entah ke mana,” luah Usop yang berasal dari Kulim, Kedah itu.

Ketika artikel ini dinukilkan, Usop memaklumkan, dia berada di kampung halamannya di Kedah. Disebabkan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan, dia tidak boleh pulang ke Kuala Lumpur untuk meneruskan rencana seninya.

Katanya, dia sepatutnya terlibat dengan penggambaran drama Matilah Pontianak terbitan Astro bersama dua peserta Big Stage 2020 yang lain iaitu Azzam dan Qody.

“Skrip sudah ada dalam tangan, namun disebabkan Perintah Kawalan Pegerakan Bersyarat (PKPB), saya tidak boleh balik ke Kuala Lumpur untuk memulakan penggambaran. Sebenarnya, banyak perkara yang tergendala, namun saya anggap apa yang berlaku sebagai ujian.

Berlakon bukan tamak

“Saya percaya, bukan saya seorang sahaja yang teruji, banyak lagi orang lain berdepan perkara lebih dahsyat,” tuturnya.

Ditebak pertanyaan apa yang membuatkan dirinya yakin dan mengiyakan tawaran berlakon dalam projek terbabit, jawab Usop:

“Saya pertama kali ingin berlakon. Saya bukan tamak, namun sudah sampai masa untuk saya cuba benda baharu.

“Saya pun tidak tahu apa akan jadi nanti. Berlakon tidak tahulah boleh atau tidak tetapi kalau merapu, itu memang saya (ketawa).”

 

USOP kini sedang menghitung waktu untuk memulakan projek muzik selanjutnya yang akan melibatkan kerjasama dengan Faizal Tahir dan Mike Chan.

 

Menginjak usia 23 tahun pada 24 Oktober lalu, kata Usop, dia mendapat hadiah istimewa daripada dua kelab peminatnya iaitu @usopmania dan
@usoplovers. Hadiah berkenaan merupakan sebuah iPhone 11.

“Saya sangat terharu kerana mereka (peminat) kumpul duit semata-mata untuk menghadiahkan saya telefon. Saya tidak minta pun tetapi mereka tahu telefon lama saya rosak baru-baru ini.

“Saya terkejut apabila telefon baharu diposkan ke rumah saya di Kulim, Kedah. Saya rapat dengan peminat dan kami ada grup Telegram sendiri.
“Sebelum ini pun, saya pernah terima banyak hadiah daripada peminat seperti baju, jam tangan dan kasut,” ceritanya.

‘Miss F’ calon isteri

Rancak berbicara, Usop mendedahkan perancangan untuk berkahwin pada tahun hadapan dengan wanita pilihan hati. Belum bersedia untuk mendedahkan siapakah gerangan wanita yang berjaya mencuri hatinya, Usop hanya memberi bayangan, nama wanita itu bermula dengan pangkal ‘F’.

 

USOP merancang untuk mendirikan rumah tangga dengan seorang wanita yang hanya ingin dikenali sebagai ‘Miss F’ tahun hadapan.

 

“Saya sudah berbincang dengan keluarga kedua-dua pihak. Insya-Allah, kalau tiada aral melintang, kami akan melangsungkan perkahwinan pada tahun tahun depan,” katanya sambil berkongsi bahawa kekasihnya itu berasal dari Pulau Pinang dan bukanlah seorang selebriti.

Usop berseloroh bahawa bakal isterinya itu merupakan seorang ‘anak mami’.

“Dia tinggi dan berkulit cerah. Waktu mula-mula kenal, dia tidak tahu saya artis.

“Saya sukakan dia sebab dia sangat memahami. Saya ada duit atau tiada duit, dia tetap dengan saya. Saya kenal dia dalam satu acara rumah terbuka sewaktu mula-mula saya jadi artis dahulu.

“Insya-Allah, doakan saya dan dia sampai ke jenjang pelamin. Untuk ke arah itu, saya juga perlu berkerja keras kerana apabila sudah kahwin nanti, kena jaga anak orang. Saya harus bertanggungjawab dan cari rezeki untuk keluarga,” ujarnya menggulung perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN