SEPUTAR kehamilannya, wanita Arab Quraisy itu sering didatangi mimpi. Di dalam mimpi, Siti Aminah Wahab menyaksikan cahaya indah terbit daripada tubuhnya yang bersinar terang sehingga ke bumi Syam (kini Syria). Wanita Bani Zuhrah di Mekah itu juga bermimpi mendengar bisikan suara yang mengkhabarkan dirinya sedang mengandungkan seorang Nabi bagi umat ini.
Anehnya Siti Aminah tidak sedikitpun berasa susah semasa hamil mahupun melahirkan. Malah, saat baginda Nabi Muhammad SAW selamat diputerakan pada 12 Rabiulawal 570 Masihi, zuriatnya itu tidak seperti bayi-bayi ibu lain apabila sudah sedia luruh tali pusatnya.
Kelahiran Muhammad dengan cahaya kenabiannya itu hakikatnya ditunggu-tunggukan para penganut agama samawi kerana telah termaktub dalam kitab-kitab terdahulu.
Kelahiran junjungan besar Nabi Muhammad juga membawa petanda kejatuhan kuasa batil dan syirik. Pada hari keputeraan baginda, terjadi peristiwa luar biasa apabila 14 menara Istana Kisra (gelaran untuk Raja Parsi) runtuh dan api disembah penganut Majusi selama ribuan tahun yang tidak pernah berhenti menyala tiba-tiba terpadam.

“Ini menjadi gambaran bahawa kelahiran Nabi Muhammad itu adalah pengakhiran kepada kuasa-kuasa batil dan munculnya cahaya kenabian yang menyinari seluruh alam ini sebagai mana bonda baginda, Siti Aminah yang selalu bermimpikan cahaya terbit daripada tubuhnya sehingga ke Syam.
“Pada zaman itu, Syam ialah pusat kemajuan, ilmu dan ekonomi. Di situ juga pusat agama kerana banyak rahib dan pendita Yahudi dan Nasrani. Jika seseorang itu berjaya menguasai Syam maka bermakna pengaruhnya akan tersebar ke seluruh dunia. Mimpi itu seolah memberi bayangan bahawa Siti Aminah bakal melahirkan seorang insan agung yang berpengaruh dan menebarkan rahmat ke seluruh alam,” kata Ustaz Ahmad Adnan Fadzil yang banyak menulis buku-buku berkaitan sirah Rasulullah kepada K2.
Ahmad Adnan dari Arau, Perlis ketika dihubungi berkata, Nabi Muhammad itu sejak lahir diatur kehidupannya oleh Allah untuk mempersiapkan dirinya menjadi seorang tokoh pemimpin. Misalnya, kehidupan baginda dijadikan yatim piatu agar tidak dipengaruhi ibu bapa dari segi kehidupan dan pemikirannya. Nabi juga tidak dibuaikan dengan kemewahan, namun tidak juga dihimpit kemiskinan sehingga dirinya terabai.
Katanya, sejak kecil lagi, Rasulullah manusia yang penuh dengan keberkatan atau dalam erti kata lain ‘pertambahan’. Kehadiran baginda sentiasa membawa limpahan kebaikan kepada orang yang mendampinginya.
Sebagai contoh, ibu susuan Nabi, Halimatussaadiah semasa bersama rombongan sekumpulan wanita ke Mekah untuk mencari anak susuan, unta yang ditungganginya begitu lemah sehingga dia berada di belakang sekali. Namun, apabila perjalanan pulang bersama Nabi Muhammad, untanya jadi bertenaga dan tegap sehingga memintas unta-unta yang lain.
“Apabila perkampungan Bani Saad, tempat tinggal wanita itu kemarau, tanaman orang lain tidak menjadi tetapi tanaman keluarga Halimatussaadiah subur. Kambing-kambing orang lain kekeringan susu tetapi kambing-kambing Halimatussaadiah membuak-buak susunya.
“Begitu juga apabila Nabi berhijrah ke Madinah, bumi Madinah yang sebelum ini dianggap negeri wabak atau berpenyakit serta tidak subur menjadi bumi yang sejahtera dan penuh keberkatan. Sebelum penghijrahan Rasulullah, orang luar yang datang ke Madinah mudah ditimpa penyakit, Bilal diriwayatkan mengalami demam panas yang teruk sebaik tiba ke Madinah.
“Sebab itulah para ulama menggalakkan kita rajin berselawat ke atas Nabi kerana ia akan membawa keberkatan dan limpahan kebaikan,” katanya yang juga merupakan pengarang buku Kenali Rasul Kita Muhammad yang menghuraikan kitab Asy-Syamail Al-Muhammadiyah karangan tokoh hadis terkemuka abad ke-9, At-Tirmizi.

Kitab Asy-Syamail Al-Muhammadiyah ialah sebuah kitab ulung rujukan umat Islam seluruh dunia yang menghimpunkan kira-kira 400 hadis berkenaan sifat fizikal, keperibadian dan cara hidup Rasulullah. Kitab itu telah diterjemahkan kepada semua bahasa yang mempunyai penganut Islam seperti Inggeris, Melayu, Cina, Tamil, Urdu dan lain-lain.
Menurut Ahmad Adnan, berdasarkan kitab tersebut, Nabi Muhammad digambarkan para sahabat sebagai mempunyai fizikal yang sederhana, tidak terlalu tinggi dan tidak terlalu rendah. Berambut tebal, berbahu lebar, berdada bidang dan berkulit putih berseri.
“Rasulullah tampan dan wajahnya selalu berseri. Sesiapa yang memandang akan berasa takjub akan keindahannya. Abu Hurairah RA berkata, aku tidak pernah melihat seorang yang lebih elok daripada Rasulullah, melihatnya seolah-olah melihat matahari sedang berjalan.
“Apabila baginda berjalan, pijakan kakinya teguh dan tubuhnya tegap, namun tidak sehingga menunjukkan kesombongan.
“Rasulullah digambarkan mempunyai fizikal yang kuat. Bayangkan, pada usia 50 tahun sehingga kewafatannya, baginda telah mengharungi 30 peperangan. Para sahabat berkata, jika dihitung, uban Rasulullah di rambut dan janggut tidak lebih daripada 21 helai,” katanya.
Ahmad Adnan berkata, berbanding keindahan fizikal, para sahabat sebenarnya lebih banyak menonjolkan keindahan akhlak Rasulullah.
“Untuk menyatakan Rasulullah itu mempunyai ketampanan rupa paras menyamai atau lebih daripada Nabi Yusuf AS itu tidak dapat dipastikan, namun apa yang pasti ialah tentang keindahan akhlak baginda. Allah juga berfirman bahawa Rasulullah itu memiliki khuluqin ‘azim (akhlak yang agung).
“Mengapa? Kerana keindahan akhlak itulah yang boleh menjadikan baginda sumber ikutan semua sedangkan rupa paras itu suatu yang bukan semua orang dapat mencapainya,” katanya.
Berbicara tentang keperibadian Rasulullah, Ahmad Adnan berkata, Rasulullah adalah gambaran sebenar seorang hamba Allah Taala.

“Kalau kita hendak tengok seorang hamba Allah, itulah Rasulullah. Dengan sifat rendah diri dan tawaduknya, bagi baginda, Allah sahaja yang mempunyai kebesaran, Allah sahaja Tuhan, baginda hamba. Biarpun dijanjikan Allah dengan syurga tetapi baginda tetap menunaikan ibadah sehingga bengkak-bengkak kaki. Apabila ditanya Saidatina Aisyah mengapa baginda sanggup berbuat demikian, baginda menjawab, tidakkah boleh aku menjadi hamba yang bersyukur? Rasulullah menunaikan ibadah semata-mata kerana kesyukuran dan penghargaannya kepada Allah, bukan seperti kebanyakan kita yang beribadah kerana mahukan ganjaran daripada Allah atau takut dengan kemurkaan-Nya.
“Baginda bersederhana dalam banyak perkara. Baginda boleh sahaja menjadi seorang yang kaya-raya kerana pandai berniaga.Rasulullah juga boleh menjadi maharaja kerana baginda di puncak kuasa, tetapi baginda memilih untuk hidup sederhana,” katanya.
Tambahnya, kecintaan Rasulullah kepada umatnya terlalu tinggi. Baginda tidak sanggup melihat siapapun dalam kalangan umatnya ditimpa azab.
“Ibnu Majah meriwayatkan baginda bersabda: “Syafaatku ku simpan untuk umatku yang melakukan dosa besar.” Bukanlah Nabi galakkan kita melakukan dosa besar tetapi Nabi terlalu takut dan bimbang umatnya disiksa dengan azab pedih kerana dosa besar,” katanya.
Meskipun baginda kekasih Allah, namun jalan hidup baginda penuh kesukaran. Baginda dididik dengan usaha dan tawakal. Umat Islam seharusnya mencontohi sifat positif yang ada pada baginda.
“Berbanding sesetengah rasul lain, Rasulullah tidak pernah mendoakan umatnya ditimpa pembalasan. Apabila dakwah baginda ditentang di Taif, baginda tidak mendoakan azab sebaliknya mendoakan moga anak cucu penduduk Taif nanti akan menerima ajarannya.
“Rasulullah mengajar kita berdoa kepada Allah dengan yakin bahawa permintaan kita akan dikabulkan. Dalam mendepani pandemik yang sedang melanda, Rasulullah mengajar kita untuk yakin bahawa segala penyakit itu ada ubatnya,” ujarnya.















