fbpx

Pencemaran Sungai Selangor, reman 8 suspek dilanjut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Reman 8 suspek yang disyaki terlibat pencemaran Sungai Selangor disambung 6 hari lagi di Mahkamah Majistret di sini.

SELAYANG – Reman dua beranak termasuk seorang pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan dan enam pekerja syarikat itu yang disyaki terlibat dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Selangor dua minggu lalu dilanjutkan enam hari lagi.

Perintah lanjutan reman yang bermula esok sehingga 3 November itu dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd. Fadli Nik Azlan ke atas kesemua suspek yang berusia antara 28 hingga 66 tahun.

Terdahulu, mereka yang memakai baju lokap polis bewarna ungu dan oren itu serta kameja dibawa ke Kompleks Mahkamah Selayang pada pukul 8.30 pagi.

Prosiding sambung reman yang bermula pukul 9.30 pagi itu kemudian tamat pukul 10.20 pagi.

Pada 22 Oktober lalu, kesemua suspek direman telah selama tujuh hari selepas ditangkap di Rawang.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan dua beranak antara lapan individu yang ditahan polis bagi membantu siasatan kes pencemaran sungai yang mengakibatkan gangguan bekalan air.

Kesemua suspek termasuk pengarah sebuah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan itu ditangkap di sekitar Rawang pukul 11.30 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Fadzil Ahmat berkata, siasatan awal pihaknya mendapati bau yang dikesan berakhir di alur air Sungai Gong dipercayai bermula daripada premis syarikat tersebut.

Fadzil menegaskan semua suspek akan direman di Mahkamah Selayang esok dan kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Tambah Fadzil, penahanan itu dilakukan susulan laporan Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd (Air Selangor) yang mengesan bau abnormal pada sumber air mentah di Sungai Selangor pada pukul 12.38 tengah malam.

Keadaan itu menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras 3 ton.

Kementerian Alam Sekitar dan Air sebelum ini memaklumkan telah mengenal pasti tiga kawasan kilang yang disyaki menjadi punca pencemaran bau di Sungai Gong, hingga menyebabkan gangguan bekalan air di tujuh kawasan di Lembah Klang.

Siasatan Air Selangor turut mengesan bau pelarut yang hampir sama dengan pencemaran di Sungai Gong, awal bulan lalu.

Pencemaran itu menyebabkan gangguan di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI