fbpx
Gambar hiasan.

Bajet 2021 penentu hala tuju negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
AHMAD MUSTAKIM ZULKIFLI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

BEBERAPA minggu kebela­kangan ini, ribut politik melanda Malaysia sehingga menyebabkan kegelisahan ramai, daripada rakyat marhaen hinggalah pelabur-pelabur asing.

Bagi rakyat, kestabilan politik bermakna polisi kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik. Bagi pelabur asing, ia memberi keya­kinan kepada pelaburan mereka.

Setelah debu-debu pergese­ran politik semakin hilang de­ngan kenyataan UMNO bahawa parti itu akan terus menyokong Perikatan Nasional (PN), kini semua mata akan tertumpu kepada pembentangan Bajet 2021 yang dijangka pada November ini.

Bajet ini menjadi penentu kepada ekonomi Malaysia selepas teruk dibadai gelombang Co­vid-19. Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan mendedahkan, setakat 10 September lalu, seramai 79,737 orang hilang pekerjaan pada tahun ini. Ia berdasarkan statistik Sistem Insu­rans Pekerjaan Pertubuhan Ke­selamatan Sosial (Perkeso).

Kehilangan pekerjaan ini akan menyebabkan mereka yang terkesan pasti tidak mampu membayar hutang dan komitmen. Ia sekali gus akan me­ningkatkan kadar pinjaman tidak berbayar (NPL) selain lambakan hartanah yang bakal dilelong.

Keadaan rakyat Malaysia yang berada dalam golongan B40 dan M40 boleh diibaratkan seperti sudah jatuh ditimpa tangga. Sebelum ini mereka telah dihimpit dengan gaji yang tidak meningkat selain kos sara hidup tinggi.

Berdasarkan satu ciapan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, tiga objektif utama menjadi dasar Bajet 2021 iaitu kesejahte­raan rakyat, kelangsungan bisnes dan kemapanan ekonomi.

Pakar ekonomi, Prof. Dr. Barjoyai Bardai berkata, kerajaan boleh memecahkan perbelanjaan kepada tiga aspek iaitu kos memerangi Covid-19, rangsangan ekonomi dan bajet pengurusan.

“Dalam memerangi Covid-19, kebanyakan kos melibatkan Ke­menterian Kesihatan dan pasukan keselamatan meliputi per­belanjaan untuk memastikan ke­lancaran operasi.

“Ia mungkin menelan belanja berbeza daripada perbelanjaan biasa untuk kementerian itu yang kebiasaan dimasukkan dalam bajet pentadbiran,” katanya.

Bagi usaha merangsang semula ekonomi, kerajaan perlu me­numpukan kepada golongan M40, B40 dan perniagaan mikro yang mungkin memerlukan sehinga RM50 bilion.

Selain itu, kerajaan boleh me­laksanakan pump-priming untuk menggerakkan semula ekonomi, seperti yang pernah dilakukan ketika tahun 2009.

“Kita ada beberapa projek besar yang menunggu pelaksa­naan seperti Landasan Keretapi Pantai Timur, Kereta Api Berkelajuan Tinggi, Bandar Malaysia dan Lapangan Terbang Sungai Petani yang memerlukan bajet kira-kira RM150 bilion.

“Bagaimanapun, ini boleh di­biayai sektor swasta menerusi inisiatif pembiayaan swasta.

“Langkah ini dapat merangsang ekonomi untuk jangka pertengahan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Bagi bajet pengurusan, Barjoyai berkata, kerajaan disarankan untuk melaksanakan langkah penjimatan.

“Memandangkan kita dalam keadaan terkurung, maka tidak perlulah elaun perjalanan, hi­buran terutama kepada kakita­ngan awam berjawatan tinggi dan Ahli-Ahli Parlimen.

“Perbelanjaan seperti pembekalan, penyeliaan dan lain-lain juga boleh dikurangkan,” katanya.

Dengan cara itu, kerajaan tampak berjimat-cermat, namun pada masa sama, bersungguh untuk melawan Covid-19 dan mencartakan semula ekonomi ke arah yang lebih baik.

BERITA BERKAITAN