fbpx

JKDM rampas dadah disorok dalam ‘pen marker’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sejumlah 'pen marker' yang dirampas JKDM yang berisi dadah jenis methamphetamine. - Foto MUHAMMAD IZZAT TERMIZIE.

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

SEREMBAN – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas dadah jenis methamphetamine seberat 1,614 gram yang bernilai RM64,560 susulan tangkapan seorang lelaki warganegara asing pada 23 Oktober lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, penahanan lelaki berusia 35 tahun tersebut juga merupakan kejayaan pihaknya menumpaskan cubaan menyeludup keluar dadah jenis methamphetamine ke luar negara melalui perkhidmatan kurier.

Menurutnya, lelaki dari benua Afrika itu berjaya ditangkap sepasukan anggota Kastam daripada Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM pada 23 Oktober lalu kira-kira pukul 3.30 petang ketika lelaki itu sedang berurusan di kaunter perkhidmatan kurier di Sentul, Kuala Lumpur.

Katanya, hasil tangkapan tersebut, pihaknya turut merampas sebuah kotak yang diikrarkan sebagai alat tulis yang disyaki mengandungi dadah berbahaya jenis methamphetamine.

“Hasil pembongkaran rapi ke atas kotak tersebut menjumpai bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine disorokkan di dalam ‘pen marker’ pelbagai warna dengan anggaran berat kasar keseluruhan ialah 854 gram dengan nilai dianggarkan berjumlah RM34,160.

“Siasatan awal mendapati kotak tersebut akan dihantar ke salah sebuah negara yang terletak di Asia Timur. Perintah tahanan reman lelaki itu telah diperoleh daripada Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selama tujuh hari bermula 24 Oktober lalu sehingga 30 Oktober depan,” katanya pada sidang akhbar di JKDM Cawangan Narkotik Ibu Pejabat dekat Kampung Jijan Tengah, Nilai dekat sini hari ini.

Jelas Johari, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang disabitkan dengan kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup degan rotan tidak kurang daripada 15 sebatan.

Kemudian, hasil siasatan lanjut terhadap suspek yang dipercayai terlibat dengen sindiket dadah antarabangsa itu, sepasukan anggota Cawangan Narkotik Ibu Pejabat JKDM telah membawa suspek dan menyerbu rumah suspek yang terletak di Kuala Lumpur pada pukul 6.30 petang semalam.

“Hasil serbuan tersebut, pasukan telah berjaya menemui sejumlah bahan kristal jernih disyaki dadah jenis methamphetamine yang disorokkan di dalam ‘pen marker’ dengan anggaran berat kasar sebanyak 760 gram dengan nilai RM30,400,” katanya lagi.

Sementara itu, menurut Johari, hasil siasatan lanjut, pihaknya menerima maklumat ia bukanlah kali pertama suspek menjalankan aktiviti menyeludup keluar dadah ke luar negara dengan menggunakan perkhidmatan kurier.

“Menerusi soal siasat, suspek pernah melakukan perkara serupa tetapi tidak dapat dipastikan berapa kali, kami sedang siasat lagi sama ada dia menyeludup dengan menyorokkan dadah menggunakan ‘pen marker’ atau dengan cara yang lain,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI