fbpx

PIDM Siri 7: Empat langkah untuk mengenal pasti penipuan kewangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Meskipun pelbagai laporan yang disiarkan media, namun masih ramai yang menjadi mangsa penipuan kewangan yang mengakibatkan kerugian sehingga berpuluh-puluh ribu malahan beratus ribu ringgit.

Aktiviti penipuan ini berjaya kerana mereka menyasarkan individu yang terdesak memerlukan wang atau individu yang yakin mereka dapat menambahkan lagi wang mereka dalam masa yang singkat.

Sempena Bulan Literasi Kewangan 2020 yang dianjurkan buat julung kalinya oleh Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), pelbagai aktiviti telah dirancang sepanjang bulan ini.

Selaku ahli FEN, PIDM menyokong inisiatif ini.

Tujuan inisiatif ini pula tidak lain dan tidak bukan untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan literasi kewangan dan menggalakkan perubahan tabiat kewangan ke arah lebih positif.

Dalam rencana ini, PIDM ingin berkongsi empat langkah bagi mengenal pasti penipuan kewangan.

Langkah pertama adalah memeriksa butiran terperinci pendaftaran syarikat. Pastikan sama ada syarikat berkenaan berdaftar dengan pihak berkuasa perkhidmatan kewangan.

Syarikat yang menerima deposit, seperti bank, perlu dilesenkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) manakala syarikat pelaburan dilesenkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

Anda boleh menyemak laman web BNM dan SC untuk melihat sama ada syarikat terbabit dilesenkan oleh pihak-pihak berkuasa tersebut.

Anda juga boleh lakukan carian atas talian mengenai syarikat tersebut. Sekiranya ia adalah penipuan, anda akan dapati aduan dan amaran daripada mereka yang telah menjadi mangsa penipuan syarikat itu.

Langkah kedua pula adalah berhati-hati terhadap syarikat perlaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa yang singkat.

Contohnya, sebuah syarikat pelaburan yang menjamin pelaburan awal sebanyak RM500 boleh mendapatkan pulangan sebanyak RM4,000 selepas hanya seminggu. Ini bersamaan dengan keuntungan lebih daripada 80 peratus!

Perlindungan PIDM disediakan secara automatik dan percuma.

Jika semudah itu, pastinya semua orang akan menjadi kaya, bukan?

Jika seseorang menjanjikan pulangan yang sangat tinggi, semak terlebih dahulu. Sebagai contoh, anda boleh semak kadar dividen tahun-tahun sebelum ini bagi skim pelaburan sah seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Tabung Haji.

Jika syarikat pelaburan tersebut menjanjikan lebih daripada pulangan ASB, KWSP atau Tabung Haji, ini merupakan satu amaran, dan anda perlu sangat berhati-hati mengenai pelaburan tersebut.

Langkah ketiga adalah dengan menyedari bahawa tiada pelaburan yang hadir tanpa risiko. Pada asasnya, sebuah pelaburan berisiko tinggi akan memberikan pulangan yang tinggi tetapi ia turut bermakna potensi kerugian juga sangat tinggi. Oleh itu, elakkan produk kewangan yang didakwa tidak berisiko.

Langkah keempat pula adalah lakukan pemeriksaan dengan pihak berkuasa yang relevan. Barangkali ada individu atau syarikat yang mungkin cuba memperdayakan anda untuk membuat pelaburan dengan mendakwa dua perkara.

Pertama adalah individu atau syarikat itu ahli atau disokong oleh badan kawal selia dan yang kedua, produk dan perkhidmatan individu atau syarikat itu dilindungi oleh badan kawal selia.

Tahukah anda, ada syarikat yang mendakwa produk pelaburan mereka selamat kerana ia
dilindungi oleh PIDM?

Dakwaan ini tidak tidak benar kerana syarikat pelaburan bukan ahli PIDM dan produk kewangan bukan deposit seperti pelaburan dan pinjaman tidak dilindungi PIDM.

Anda boleh menyemak laman web PIDM untuk senarai ahli PIDM serta produk kewangan yang dilindungi.

PIDM juga telah mewujudkan laman Nasihat Pengguna Kewangan yang menyiarkan beberapa contoh bahan pemasaran dengan maklumat yang tidak tepat mengenai perlindungan PIDM, atau mendakwa mereka atau entiti menyiarkan bahan itu telah mendapat kebenaran daripada PIDM.

Sebagai konsumer kewangan yang bijak, anda perlu lakukan semakan sebelum melanggan mana-mana produk atau perkhidmatan kewangan.

Anda juga boleh membuat semakan dengan badan kawal selia kewangan untuk mendapatkan kepastian dan nasihat.

Untuk maklumat lanjut mengenai aktiviti-aktiviti sepanjang Bulan Literasi Kewangan, layari laman web www.fenetwork.my.

Bagi maklumat lanjut mengenai PIDM pula, anda boleh layari laman web www.pidm.gov.my, hubungi talian tol percuma 1-800-88-1266 dan melawat laman Facebook PIDM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI