fbpx

KWP perkenal bas percuma buat pengguna sekitar Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Che Azizuddin (kanan) memberi penerangan kepada Rosidah mengenai laluan bas dan kemudahan lain yang bakal dinikmati pengguna.

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) akan memperkenalkan perkhidmatan bas percuma di kawasan Putrajaya bagi semua pengguna bermula 1 November nanti.

Inisiatif 40 buah bas percuma di 12 laluan sekitar Putrajaya iti melibatkan anggaran kos sebanyak RM12 juta setahun dan bakal dinikmati warganegara Malaysia terutama warga Wilayah Persekutuan Putrajaya.

Ketua Setiausaha KWP, Datuk Rosidah Jaafar berkata, setakat ini, kira-kira 4,000 pengguna berdaftar bagi menikmati perkhidmatan percuma ini.

Katanya, ia merupakan salah satu inisiatif di bawah Wilayah Prihatin KWP bagi membantu rakyat khususnya warga Putrajaya mengurangkan beban sara hidup dalam aspek pengangkutan serta memudahkan urusan di Putrajaya.

“Kemudahan bas percuma ini hanya untuk warganegara Malaysia dan bagi warga asing mereka dikenakan tambang RM1.50 bagi satu laluan.

“Perkhidmatan bas percuma ini dikendalikan Syarikat Pengangkutan Awam Putrajaya Travel & Tours Sdn Bhd (PAPTT) iaitu syarikat yang mengurus dan mengendalikan operasi bas Nadi Putra ” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Bas Percuma di Persiaran Perdana, Presint 2, di sini hari ini.

Menurut Rosidah, kemudahan bas percuma itu diharapkan akan menggalakkan aktiviti pelancongan domestik di Putrajaya yang dapat membantu memulihkan ekonomi setempat.

“Bagi meningkatkan lagi perkhidmatannya, laluan dan kekerapan bas Nadi Putra juga telah dibuat penyusunan semula melibatkan 12 laluan di sekitar Putrajaya.

“Laluan perkhidmatan utama iaitu T500 diperkenal yang bermula di Kompleks E dan akan melalui Kompleks-kompleks Kerajaan di sepanjang Persiaran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Presint 1 (Kompleks A, B, C, D & E) dan Persiaran Perdana (Presint 2, dan 3) sehingga ke Dataran Gemilang Presint 4,”ujarnya.

Tambah beliau, kekerapan bagi laluan utama ini adalah setiap lima minit pada waktu puncak (pukul 6.30 pagi hingga 9.00 pagi dan 4.00 petang hingga 6.40 petang), setiap 10 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit untuk waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Manakala bagi 11 laluan perkhidmatan selebihnya akan melalui kawasan perumahan, komersil dan pejabat selain di Presint 1 hingga 4  dengan kekerapan setiap 15 minit pada waktu puncak, 20 minit pada waktu bukan puncak serta 30 minit pada waktu malam, hujung minggu atau cuti umum.

“Selain Putrajaya Sentral sebagai stesen utama, dua buah hentian iaitu di Kompleks E, Presint 1 dan di Dataran Gemilang, Presint 4 juga dijadikan sebagai transit yang menghubungkan laluan perkhidmatan utama dengan beberapa laluan lain bagi memudahkan penumpang,” ujarnya.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI