fbpx
Bayi ditemui di dalam sebuah kotak di pagar Surau Nurul Huda di Kuala Selangor hari ini.

Jumpa bayi berserta nota di pagar surau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA SELANGOR – Perasaan ingin tahu seorang guru terhadap sebuah kotak yang diletakkan di pintu pagar utama Surau Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru di sini membawa penemuan bayi cukup sifat.

Bayi yang dikenali Muhammad Arif dipercayai baharu seminggu dilahirkan ditemui kira-kira pukul 7.15 pagi berserta sekeping nota yang dipercayai ditinggal oleh ibu bapa mereka.

Berdasarkan nota itu memaklumkan kekhilafan mereka dengan memohon maaf tidak mampu menjaga bayi tersebut atas sebab ekonomi.

Nota yang ditemui bersama bayi tersebut.

Mohd. Maidin Abdul Rahim, 38, yang merupakan Ketua Guru Sekolah Agama Rakyat (SAR) Kafa Integrasi Nurul Huda, Kampung Sungai Kajang Baru memberitahu, semasa kejadian di dalam perjalanan ke menuju ke sekolah tersebut sebelum melihat terdapat ada kotak ditinggalkan di pintu pagar utama berkenaan.

Katanya, pada mulanya dia menyangka kotak tersebut mengandungi anak kucing yang dibuang orang ramai.

“Apabila diselak kain biru yang menutupi kotak tersebut, saya terkejut apabila mendapati terdapat bayi lelaki.

“Turut ditemui lampin pakai buang, bedak serta tidu basah dan nota tulisan tangan menyatakan kemaafan dan minta mana-mana individu untuk menjaga bayi tersebut berikutan ketidakmampuan pembuangnya berikutan masalah ekonomi,” katanya di sini hari ini.

Kata Mohd. Maidin, ini merupakan kejadian pertama berlaku di kampung tersebut dan tidak menolak kemungkinan bayi itu ditinggalkan selepas solat subuh.

Ujarnya, beberapa jemaah yang ditemui turut menyatakan tidak menyedari kehadiran kotak tersebut sebelum melaporkan ke balai polis berhampiran.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa ketika dihubungi Kosmo! mengesahkan kejadian tersebut dan bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Tanjong Karang.

“Hasil pemeriksaan tiada sebarang kecederaan pada bayi berkenaan.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan. -K! ONLINE

BERITA BERKAITAN