KUALA LUMPUR- Sebagai tanda menyokong usaha barisan hadapan yang sedang memerangi wabak Covid-19, Malaysia Airports menghantar 350 unit kit keselesaan dihantar kepada petugas barisan hadapan di Tawau dan Kota Kinabalu, Sabah yang ketika ini mencatat jumlah kes tertinggi di negara.
Bantuan tersebut dihantar menerusi pesawat Charlie 130 milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berlepas ke dua destinasi iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dan Lapangan Terbang Tawau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airports, Datuk Mohd. Shukrie Mohd Salleh berkata, kit itu terdiri daripada satu beg tidur, satu tuala muka dan satu set peralatan mandian.
“Sejak berlakunya wabak ini, semua lapangan terbang di seluruh negara telah ditugaskan untuk turut melihat kesejahteraan masyarakat sekitar masing-masing.
“Selain berfungsi sebagai hab pengangkutan, lapangan terbang juga memainkan peranan penting dalam persekitaran sosio-ekonomi mereka sendiri. Dengan mobilisasi tambahan petugas barisan hadapan ke Sabah, kami ingin memberikan bantuan agar para petugas ini yang bekerja berjam-jam lebih selesa dalam menjalankan tugas mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal tahun ini, sebanyak 2,000 unit kit keselesaan yang sama telah diedarkan ke Hospital Sungai Buloh yang merupakan hospital rujukan bagi menangani wabak di negara ini sementara 500 unit pula diberikan kepada penumpang yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada TUDM yang telah membantu kami membawa kit keselesaan ini ke Sabah. Kami sangat menghargai solidariti yang ditonjolkan dalam memastikan negara kita kekal selamat dalam masa-masa sukar ini.
Sementara itu, kami tetap komited dalam memastikan keselamatan semua pihak, bukan hanya dalam rangkaian lapangan terbang kami sendiri, tetapi juga di seluruh negara,” ujarnya. -K! ONLINE














