PUTRAJAYA – Kes jangkitan Covid-19 hari ini pecah rekod tertinggi lagi selepas melaporkan sebanyak 1,228 kes termasuk daripada enam kluster baharu menjadikan jumlah kes positif sebanyak 25,742 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 1,217 kes adalah penularan tempatan manakala 11 kes import.
“Enam kluster baharu ialah Kluster Mesra dan Megah di Sandakan, Sabah; Kluster Kaya di Negeri Sembilan; Kluster Bah Kayu di Selangor; Kluster Baki di Sarawak dan Kluster Kempas di Johor,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di sini hari ini.
Noor Hisham berkata, tujuh lagi kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian sebanyak 221.
Pada masa sama, beliau berkata, sebanyak 671 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih adalah 16,555 setakat hari ini. -K! ONLINE