fbpx

Seorang jemaah positif Covid-19, Masjid Pangkal Meleret ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh TOREK SULONG

MACHANG – Masjid Mukim Pangkal Meleret di sini ditutup kepada ahli jemaah dan orang ramai bermula semalam selepas seorang daripada jemaah yang hadir menunaikan solat baru-baru ini disahkan positif Covid-19.

Imam tua masjid, Kamaruzzali Dollah berkata, notis penutupan itu dikeluarkan oleh Pejabat Agama Jajahan Machang yang mengarahkan masjid itu ditutup selepas solat Asar semalam untuk sementara waktu sehingga tarikh yang akan diumumkan kelak.

Menurutnya, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan tiga kes baharu direkodkan di Kelantan dengan dua daripadanya di Mukim Pangkal Meleret.

“Kerja-kerja disinfeksi turut dilaksanakan di masjid ini dan semua anak mukim sudah maklum mengenai penutupan masjid termasuk penangguhan solat fardu Jumaat hari ini.

“Semua jadual majlis ilmu, ceramah dan aktiviti yang berkaitan turut ditangguhkan sementara sehingga dimaklumkan semula mungkin selepas tempoh 14 hari,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Kamaruzzali berkata, pengurusan masjid menafikan maklumat tular di media sosial yang mendakwa semua ahli jawatankuasa dijangkiti Covid-19.

Katanya, hanya ahli jawatankuasa masjid yang berhubung rapat dengan mangsa yang disahkan positif Covid-19 tampil secara sukarela melakukan saringan untuk pengesahan kesihatan masing-masing.

“Jangkitan ini berlaku di luar masjid, namun kita perlu waspada mengekang penularan wabak dengan mematuhi arahan pihak berkuasa menutup sementara masjid ini.

“Jemaah telah mematuhi operasi standard (SOP) termasuk mewajibkan pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial. Menjadi kelaziman, ahli jawatankuasa yang menjalani saringan Covid-19 perlu mematuhi prosedur kuarantin sehingga keputusan mengenainya diperoleh, “ujarnya.

Masjid Mukim Pangkal Meleret merupakan salah sebuah masjid dalam daerah Machang yang aktif dan padat dengan majlis ilmu selain ceramah keagamaan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI