fbpx

Konvokesyen janji temu UiTM ditangguh 1 Disember depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Konvesyen janji temu UiTM ditangguhkan pada 1 Disember depan. FOTO : ZULFADHLI ZAKI

Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED

SHAH ALAM – Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke-92 yang melibatkan 22,834 graduan
secara janji temu yang dijadualkan bulan depan ditangguhkan pada 1 Disember ini.

Ketua Perhubungan Awam, Media, Protokol dan Pengurusan Acara Jabatan Komunikasinya, Nora Noordin berkata, penangguhan itu dibuat selepas meneliti keselamatan dan kebajikan semua warga universiti ekoran situasi terkini pandemik Covid-19.

“UiTM mengambil maklum dengan perkembangan terkini penularan pandemik itu berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan dan sidang media Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Berikutan itu, pengurusan tertinggi memutuskan konvokesyen secara janji temu tersebut dilakukan pada tarikh baharu iaitu bermula pada 1 Disember depan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menegaskan janji temu yang telah dibuat para graduan sebelum ini adalah terbatal dan tidak terpakai.

Justeru, semua graduan terlibat diminta mengisi dan mendaftar semula untuk tarikh baharu menerusi laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/.

“Mereka juga boleh melayari laman sesawang https://konvokesyen.uitm.edu.my/v1/ untuk mendapatkan maklumat terkini sesi penganugerahan itu atau menghubungi pegawai Bahagian Rekod Pelajar dan Konvokesyen melalui talian 03-55443110 atau 03-55443114.

“Sebarang kesulitan amat dikesali dan semua pihak terlibat diharap kekal tenang dan tabah dengan situasi yang dihadapi ketika ini,” katanya.

Pada bulan lalu, UiTM memaklumkan konvokesyen menggunakan norma baharu menerusi kaedah penganugerahan secara janji temu itu berlangsung selama dua bulan bermula 7 November depan melibatkan 22,834 graduan Diploma dan Ijazah di 14 kampusnya seluruh negara.

Sesi penganugerahan itu bergantung sepenuhnya kepada pemilihan lokasi kampus yang terletak berdekatan graduan tersebut.

Menerusi penganugerahan itu, graduan masih berpeluang memakai jubah konvokesyen, menerima skrol serta transkrip seperti istiadat konvokesyen secara konvensional dengan gambar mereka akan disatukan dengan gambar penganugerah yang ditetapkan. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI