fbpx

Tiada penjarakan fizikal, lapan warga asing didenda RM800

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Gara-gara tidak melakukan penjarakan fizikal dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah pub Isnin lalu, lapan warga asing didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret M. Saravanan menjatuhkan hukuman itu terhadap Rajiv Ahuja, Al Mutawakel Zaid Yahya Zaid, Larbi Belbaraka, Hayat Iskandar, Ibrhaem Mohammaed S Ibrahim, Mohamed Farah Yassin, Masetto Marco Braian dan Ayeyi Kolawale Isaac, yang merupakan warga Afrika dan Amerika Syarikat selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan.

Mahkamah turut memerintahkan mereka selaku Orang Kena Saman (OKS) berusia 21 hingga 43 tahun menjalani hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut pertuduhan, kesemua OKS didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan No 8) 2020 dengan berhimpun tanpa penjarakan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilalukan di sebuah pub Jalan Tun HS Lee, Dang Wangi, di sini, pukul 2.20 pagi pada 19 Oktober lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut  peraturan 11(1) peraturan sama yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda  RM1,000 atau penjara yang boleh sampai enam bulan, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Lim Chooi Yee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal ke atas kesemua OKS kerana mereka telah melanggar peraturan pencegahan pandemik.

“Pihak pendakwaan mohon mahkamah turut mengambil kira faktor peningkatan kes Covid-19 yang semakin mendadak sejak kebelakangan ini,” katanya.

Bagaimanapun, kesemua OKS merayu mahkamah menjatuhkan hukuman ringan.

Sementara itu di Mahkamah Majistret lain, seorang lelaki warga Korea turut didenda RM500 kerana gagal mendaftar butiran diri dalam aplikasi My Sejahtera dan buku pendaftaran ketika memasuki kedai makan, dua minggu lepas.

Majistret Mohamad Fared Abdul Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Chung Yun-Noh, lingkungan umur 60-an mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya

Mengikut pertuduhan, Yun-Noh didakwa telah gagal mendaftar butiran diri dalam aplkilikasi mY Sejahtera dan Buku Daftar di sebuah kedai makan di Lorong Kampung Pandan di sini, pukul 10.40 pagi pada 8 Oktober lalu yang didakwa mengikut peraturan dan hukuman yang sama. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI