fbpx

Sudah biasa lihat orang mandi – Saksi ke-29

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Firdaus selepas memberi keterangan pada pada prosiding inkues kematian Nora Anne. FOTO IZZAT TERMIZIE

Oleh AFIFI HAFIZ MOHD NOR

SEREMBAN – Seorang pekerja syarikat air yang menjaga Loji Air Gunung Berembun memberitahu Mahkamah Koroner Seremban sudah biasa melihat orang mandi di kawasan itu.

Muhammad Firdaus Kamarudin merupakan saksi ke-29 dipanggil untuk memberi keterangan kerana mendakwa melihat seorang wanita berkulit putih dan rambut perang sedang mandi pada 4 Ogos 2019.

Menurut Muhammad Firdaus, semasa kejadian dia dalam perjalanan ke tempat kerja dan ketika melalui kawasan itu dia ternampak seorang wanita sedang bermain air di kawasan itu.

Katanya pada prosiding inkues hari ke-12, sebagai seorang operator syarikat air sudah menjadi rutin setiap kali di kawasan itu dia akan memandang ke arah sungai untuk melihat kualiti air sungai.

“Semasa dalam perjalanan pergi kerja selepas simpang resort itu saya nampak orang putih mandi di tepi sungai.

“Dari segi kulit putih. Perempuan sebab rambut panjang. Berbadan sederhana tidak besar. Rambut warna perang,” katanya di hadapan Koroner, Maimoonah Aid di sini hari ini.

Tambahnya, dia terus menunggang motosikal waktu itu kerana pemandangan itu merupakan perkara biasa sejak 10 tahun berkerja di tempat itu.

“Pada waktu itu juga saya tidak tahu ada orang hilang di kawasan itu.

“Esok pagi tu baru saya tahu ada orang hilang. Saya ada maklumkan mengenai perkara itu pada anggota bomba dan JPAM pada 6 Ogos yang melakukan operasi pencarian,” tambahnya.

Jelas Muhammad Firdaus, sejak bertugas di kawasan itu sering menjadi lokasi mandi bagi orang yang menginap di resort berhampiran.

“Biasanya orang yang menyewa resort akan mandi di situ.

“Benda dah biasa nampak saya buat tak tahu je orang mandi,” ujarnya.

Nora Anne, anak sulung kepada tiga beradik yang juga merupakan anak istimewa, bersama keluarganya tiba di Malaysia untuk percutian selama dua minggu dan mendaftar masuk di sebuah resort di Pantai, Seremban pada 3 Ogos 2019.

Nora Anne kemudiannya dilaporkan hilang pada awal pagi keesokannya sebelum mayatnya ditemui sembilan hari selepas itu.

Laporan awal bedah siasat mendapati kematian Nora Anne tidak mempunyai unsur jenayah dan disahkan mati akibat kebocoran usus yang berpunca kerana tidak makan untuk tempoh lama dan tekanan yang berpanjangan.

Orang ramai boleh menyaksikan perjalanan prosiding tersebut menerusi penstriman langsung yang disediakan oleh Badan Kehakiman Malaysia melalui portal rasmi badan itu pada pautan www.kehakiman.gov.my dan media sosial rasmi di YouTube serta Facebook:The Malaysian Judiciary. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI