fbpx

Pesakit larikan diri antara cabaran petugas kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Oleh SITI A’ISYAH SUKAIMI

PUTRAJAYA – Pesakit melarikan diri apabila ternampak petugas kesihatan yang mahu menghantar mereka ke hospital antara cabaran dihadapi anggota barisan hadapan sewaktu melaksanakan tugas lapangan membendung penularan pandemik Covid-19 di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, berikutan itu, kerjasama turut dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menjalankan tugas tersebut di lapangan.

“Petugas kesihatan berdepan pelbagai cabaran misalnya apabila individu tersebut dikenal pasti positif, mereka tidak mahu dihantar ke hospital untuk menerima rawatan terutama yang bergejala ringan.

“Mereka melarikan diri apabila ternampak petugas kesihatan jadi, kita menjalankan kerjasama dengan pihak berkuasa untuk memastikan pesakit positif Covid-19 menerima rawatan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Selain itu, beliau berkata, cabaran lain turut dihadapi petugas kesihatan ialah daripada segi kurangnya kesedaran penduduk berhubung penyakit tersebut.

Sementara itu, Noor Hisham berkata, bagi menangani isu kesihatan mental berkaitan pandemik Covid-19, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) telah mewujudkan Talian Sokongan Psikososial.

Katanya, melalui Talian Sokongan Psikososial, Kementerian Kesihatan (KKM) menerima sebanyak 36,269 panggilan sejak 25 Mac sehingga 19 Oktober.

Beliau berkata, antara isu dialami pemanggil ialah isu yang memerlukan sokongan emosi dan kaunseling (stres, bimbang, marah, murung) iaitu 50 peratus.

“Antara sebab-sebab adalah faktor sosial seperti hilang pekerjaan, tiada pendapatan, masalah hubungan, persepsi negatif orang sekeliling, bimbang dijangkiti serta masalah tempat kerja.

“Selain itu, panggilan membabitkan maklumat berkaitan Covid-19 (14.7 peratus), isu rumah tangga/keganasan rumah tangga (8.8 peratus), keperluan asas/ bantuan kewangan/ sumbangan (6.8 peratus), aduan (3.3 peratus), masalah psikiatri (2.2 peratus) dan isu-isu kesihatan (1.1 peratus),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, menyedari situasi semasa Covid-19 di Sabah, KKM telah mengambil tindakan mempertingkatkan liputan MHPSS khas untuk warga Sabah terutamanya bagi mereka yang memerlukan sokongan dalam keadaan krisis.

“Talian ini boleh diakses melalui nombor 088 338088 untuk membantu mereka yang memerlukan khidmat sokongan emosi dan bantuan awal psikologi.

“Selain itu, KKM juga menyediakan perkhidmatan kaunseling kepada anggota barisan hadapan di lapangan bagi mengenal pasti mereka yang mulai mengalami kelesuan minda serta membantu mereka daripada aspek kesihatan mental.

“KKM berharap wira dan wirawati negara ini cekal dan terus berjuang menghadapi gelombang ketiga wabak Covid-19 di Malaysia,” katanya.

Talian Sokongan Psikososial turun mendapat kerjasama agensi lain seperti Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (KSK Jakim), Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pertubuhan bukan kerajaan.- K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI