fbpx

Empat lelaki halang tugas polis didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Empat lelaki dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Slim River hari ini atas tuduhan menghalang tugas penjawat awam. Foto- ZULFACHRI ZULKIFLI

SLIM RIVER – Empat lelaki yang rakaman videonya tular selepas memaki polis di Plaza Tol Slim River dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menghalang tugas seorang anggota polis Jumaat lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh, P. Panneerselvan, 32, S. Vijandran, 41, A. Sivakumar, 28, dan R. Durai Raaj, 25, kerana kesemua mereka tidak memahami pertuduhan selepas pertuduhan dibacakan di dalam bahasa Melayu di hadapan Majistret Nurul Hidayah Ismail.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa dengan sengaja menghalang penjawat awam, Koperal Muhd. Shahrul Azuwan Ab. Manaf daripada menjalankan tugasnya sebagai anggota polis apabila tidak memberikan kerjasama setelah diberi amaran berulang kali untuk beredar serta gagal mengemukakan kad pengenalan.

Kesemua mereka yang tidak mempunyai kerja tetap itu didakwa melakukan perbuatan tersebut di tepi jalan berhampiran Plaza Tol Slim River pada pukul 3.30 pagi 16 Oktober lalu.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Nurul Hidayah kemudian membenarkan keempat-empat mereka masing-masing diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 26 Oktober depan untuk mendapatkan jurubahasa Tamil.

Dalam prosiding sama, Durai Raaj sekali lagi didakwa atas pertuduhan menggunakan kekerasan jenayah dengan cara menolak badan dan membuka zip vest anggota polis sama di lokasi dan waktu sama.

Bagi pertuduhan ini, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sama untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir manakala kesemua tertuduh diwakili peguam bela, A. Puvanasvary daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Kosmo! Online Jumaat lalu melaporkan, empat lelaki mabuk ditahan selepas melakukan provokasi dan menghalang tugas penjawat awam di Plaza Tol Slim River di sini.

Kesemua lelaki berusia 25 hingga 41 tahun itu ditangkap anggota Unit Peronda Polis (MPV) Muallim dalam kejadian pada pukul 3.30 pagi.-K!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI