fbpx

Bahagia tanpa syarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MALINDA ABDUL MALIK, Wartawan Eksekutif

“Diberi susu dibalas tuba.”

Itu pepatah yang sesuai digambarkan buat anak-anak yang gagal memikul tanggungjawab menjaga ibu bapa yang meniti usia emas.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia mendapati kira-kira 16 peratus warga emas berusia 60 tahun ke atas mengalami pende­raan psikologi, penderaan kewa­ngan (6.8 peratus), pengabaian (4.2 peratus), penderaan jasmani (2.6 peratus) dan penderaan seksual (0.9 peratus).

Walaupun Malaysia antara negara yang masih berpegang kepada konsep ketaatan kepada orang tua dan anak dituntut oleh agama supaya menjaga ibu bapa, kejadian penderaan serta pengabaian terhadap warga emas tetap berlaku.

Lebih memilukan, ada juga warga emas menghabiskan sisa-sisa hidup mereka di hospital awam susulan ditinggalkan oleh keluarga.

Selain itu, hasil penyelidikan sebuah badan bukan kerajaan mendapati pusat penjagaan bagi golongan tersebut turut menunjukkan peningkatan saban tahun.

Bagi penulis, berbakti kepada orang tua sudah menjadi satu tuntutan tambahan pula menghargai pengorbanan mereka untuk membesarkan kita sebagai anak-anak dengan sebaik mungkin.

Dalam Islam, ada menyebut bahawa menjaga ibu bapa adalah satu kewajipan besar kerana mereka merupakan insan yang paling jujur menyayangi kita tanpa sebarang syarat atau tuntutan.

Namun kini, isu penderaan dan pengabaian terhadap warga emas perlu diberikan tumpuan sejajar dengan Malaysia melangkah ke arah negara maju.

Pakar psikologi daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr. Fauziah Mohd. Saad berkata, setiap kes penderaan dan pengabaian warga emas berlaku atas faktor tertentu termasuk cara didikan sewaktu kecil serta tahap kesihatan mental anak.

Katanya, cara didikan sewaktu kecil anak memainkan peranan penting kerana anak yang berdendam dengan ibu bapanya tidak akan mempunyai rasa simpati.

Jelas beliau, menjaga warga emas memerlukan kesabaran yang tinggi tambahan pula jika mereka yang sudah nyanyuk.

“Sebagai contoh, bila menantu beri makanan tetapi bila anak balik warga emas itu mengadu lapar dan tidak diberi makanan menyebabkan berlaku konflik rumah tangga sekali gus turut menjadi faktor ibu bapa itu diabaikan sehingga ada terpaksa hidup sendirian serta menjadi gelandangan.

“Keluarga kena berlapang dada dan mempunyai sikap maaf-memaafkan untuk tinggal sekali bersama orang tua mereka kerana golongan itu perlu diberikan kegembiraan pada hari tua mereka,” katanya.

Menurutnya lagi, pengabaian warga emas boleh berlaku dalam semua lapisan masyarakat namun hanya cara yang membezakannya.

“Dalam isu ini masyarakat tidak boleh menunding jari terhadap keluarga kerana kita tidak tahu situasi yang dihadapi.

“Kita harus lihat isu ini daripada sudut global kerana hubu­ngan kekeluargaan itu tetap ada,”ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Polis Diraja Malaysia mendedahkan kes penderaan anak terhadap ibu bapa mencatatkan pe­ningkatan sehingga 20 peratus.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan berkata, sebanyak 125 kes penderaan terhadap ibu bapa dilaporkan sebelum mening­kat kepada 134 sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan.

“Kebanyakan ibu bapa menjadi mangsa dera oleh anak-anak mereka yang berusia antara 30 hingga 38 tahun,” katanya.

Akhir kata, hargailah ibu bapa sementara mereka masih ada, ini kerana perasaan rindu yang timbul detik kehilangan dua insan itu tidak mampu diungkapkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI