fbpx
Gambar hiasan

Instafamous, berpendidikan atau sebaliknya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
SUHANA MD. YUSOP
PENGARANG BERITA

Beberapa hari lalu, media sosial kecoh mengenai seorang instafamous yang berkongsi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di laman sosial.

Kekecohan itu berlaku apabila lelaki berkenaan yang juga usahawan produk kecantikan memuat naik status menyatakan dirinya gagal dalam peperiksaan berkenaan tetapi berjaya dalam hidup dan memiliki teman wanita.

Namun, slip peperiksaan yang dimuat naik pada Mac lalu itu tidak menunjukkan dia gagal sebaliknya kebanyakan subjek mendapat C.

Perkongsian instafamous yang mempunyai 909,000 pengikut instagram yang rata-ratanya golongan muda itu kembali tular selepas dikongsi seorang motivator yang menasihatinya supaya tidak menormalisasikan bahawa SPM itu tidak penting.

Motivator itu juga memintanya agar tidak mempromosikan budaya gagal dalam pelajaran dengan memberi harapan palsu kepada anak-anak muda yang sedang berjuang untuk meningkatkan taraf akademik masing-masing.

Perkongsian itu turut mencetuskan perbalahan dalam kalangan netizen, malah menganggap kenyataan terbabit tidak wajar dibuat oleh seorang instafamous.

Bagaimanapun, tidak kurang juga yang menyokong perkongsian instafamous berkenaan.

Menyedari statusnya itu tular dan disalahertikan, instafamous berkenaan tampil mempertahankan diri menyatakan perkongsiannya sebelum ini adalah untuk memberi semangat kepada pelajar yang gagal.

Katanya, dia pernah berada dalam kedudukan gagal dalam pelajaran, namun bangkit dengan segulung Diploma Perakauan di Politeknik Muadzam Shah, Pahang.

Kisah ini wajar dijadikan teladan, perkongsian mengenai kegagalan ada kebaikan dan keburukannya.

Perkongsian itu perlu jelas dan lengkap agar ia tidak disalahertikan.

Bukan semua orang memiliki semangat dan kelebihan seperti usahawan muda berkenaan.

Percayalah, ada anak muda yang kurang dari segi akademik yang akan menjadikan perkongsian itu satu panduan untuknya.

Tidak mengapalah gagal, itu instafamous boleh kaya dengan keputusan yang cukup-cukup makan saja. Tanpa menyelidik lebih lanjut dia menjadikan kegagalan itu ‘kejayaan’ untuknya di masa depan.

Namun, penulis percaya, ada juga golongan pelajar yang akan menjadikan kisah kegagalan pendorong dalam mencapai kejayaan, menjadi terkenal dan kaya raya. Semua itu bergantung kepada penerimaan dan penilaian seseorang.

Biarpun niat kita baik tidak semestinya ia boleh diterima sesetengah pihak.

Sebagai instafamous yang mempunyai pengikut yang ramai dan menjadikan dirinya idola, dia perlu realistik dalam perkongsiannya.

Berkongsilah sesuatu kisah yang boleh merangsang orang lain berjaya, perlu diingat golongan muda kini mudah terpengaruh.

BERITA BERKAITAN