LEBIH sedekad hidupnya didakap sunyi tanpa peneman hati tidak pernah membuatkan Wan Sharmila rawan kerana dia selalu percaya bahawa setiap perkara yang baik akan hadir pada waktu paling tepat.
Berada di persimpangan antara menurut kehendak hati atau berlapang dada mempercayai takdir Tuhan barangkali adalah dilema ramai manusia yang pernah mahupun sedang berperang dengan soal hati dan perasaan.
Pelakon berwajah manis, Wan Sharmila mengakui segumpal hatinya juga pernah berbolak-balik antara rasa sunyi dan keinginan memiliki. Sementelah gelaran sebagai wanita solo sudah dipeluk erat lebih sedekad lalu.
Fitrah manusia, adakalanya terbit perasaan untuk dicintai. Hati yang tidak bertuan mahu mencari rumah baharu yang nyaman untuk menetap selamanya.
Cuma dia sedar manusia tidak boleh lancang merancang masa depan yang dipegang kemas takdir. Enggan terlalu berharap berkenaan jodoh, pelakon itu menyerahkannya di tangan Tuhan untuk menentukan warna hidupnya kelak.

“Lumrah manusia memang ada keinginan untuk berkahwin. Paling ketara ketika pulang ke rumah selepas habis penggambaran.
“Di lokasi penggambaran, tidak pernah rasa apa-apa sebab tumpuan teralih dengan kehadiran ramai rakan pelakon dan kru produksi.
“Hakikatnya ketika pulang ke rumah, pernah juga berasa sunyi kerana tiada teman menyambut pulang, apatah lagi boleh dijadikan tempat mengadu melepas lelah,” ujarnya yang mesra disapa Lala.
Perasaan itu sekali pun tidak pernah meletakkan Lala dalam keadaan terpuruk, jauh sekali berhati walang. Adakalanya, dia selesa menjalani kehidupan solo.
“Hidup di dunia ini, kita perlu bijak menilai keadaan sekeliling untuk dijadikan pedoman. Saya bukan trauma untuk berkahwin lagi, tetapi kadangkala apabila lihat banyak kejadian tidak enak didengar tentang pasangan berkahwin, sedikit sebanyak ia memberi kesan.
“Contoh mudah, kalau kita tengok pasangan yang tayang kebahagiaan dalam media sosial. Adakalanya kita tidak boleh percaya sangat hidup orang lain berpandukan perkongsian sebegitu.
“Saya bersyukur hidup solo buat masa ini asalkan bahagia dan tenang dengan cara sendiri,” jelasnya panjang lebar ketika bertemu dalam sesi fotografi di Hotel CitizenM, Jalan Bukit Bintang baru-baru ini.
Dambaan
Baru sahaja meraikan sambutan ulang tahun ke-39 pada 12 Oktober lalu, barangkali tahun ini memberi sedikit perbezaan buat pelakon yang masih hangat dibayangi watak Sofi dalam drama 7 Hari Mencintakui (7HM2) itu.
Disua pertanyaan apakah ucapan yang paling banyak diterima sempena hari lahirnya kali ini, Lala yang manis mengenakan persalinan busana daripada pereka fesyen Qudyn hanya ketawa kecil mengenang usikan peminat.

Sudah tentu peminat mendoakan agar Lala menamatkan zaman solo dengan pelakon Syazwan Zulkifly berikutan kemesraan dipaparkan dalam drama 7HM2.
“Sambutan kali ini mungkin sederhana buat saya, tetapi jika bercakap soal ucapan peminat, lain ceritanya. Selain doa berjaya di dunia dan akhirat, ada yang tetap menitip agar saya berjodoh dengan Syazwan.
“Saya selesa berkawan dengannya, tetapi mungkin disebabkan penangan drama 7HM2, peminat memberi perhatian lebih kepada kami,” kata pemilik nama penuh Wan Sharmila Wan Mohamed itu sambil tersenyum.
Jauh di sudut hati wanita itu, dia mendambakan kehadiran seseorang yang mampu memberikan cinta sejati hingga ke syurga.
“Pengalaman sekeliling yang terjadi di sekitar kita kadangkala membuatkan saya terfikir.
“Bukanlah trauma dengan kisah sekeliling, tetapi jika ditakdirkan kembali bergelar isteri, saya dambakan seorang suami yang bertanggungjawab dan tahu peranan sebagai ketua keluarga,” luahnya yang pernah mendirikan rumah tangga dengan seorang penerbit, Fazli Bahrom pada tahun 2007.
Popular, hijab
Cukup tentang peribadi, perbualan tempoh hari dibawa menelusuri tentang kisah populariti drastik diraih pelakon itu hasil penangan drama 7HM2 karya penulis novel Siti Rosmizah.
Dalam tempoh selepas 15 tahun melalui turun naik dalam industri, bukan Lala tidak pernah dijulang dengan populariti. Ketika debut awal 2000, namanya dikenali ramai menerusi drama Emil Emilda dan Tari Tirana.
Cuma putaran roda waktu melangkaui zaman moden yang didatangi dengan kemudahan teknologi termasuk platform media sosial menjadikan situasi itu berbeza.
Katanya, dia tidak pernah menganggap apa yang digapai pada hari ini sebagai perkara yang perlu dijulang berlebihan.]

“Perubahan yang berlaku untuk drama 7HM2 sangat drastik sebab tumpuan peminat terarah lebih kepada saya berbanding dahulu.
“Barangkali bezanya, cara layanan dan penghargaan diberikan peminat yang menjadikannya nampak berbeza. Saya masih sama seperti dahulu,” katanya.
Ada bermacam perasaan bergulir dalam hati. Tidak lain tidak bukan, pelakon kelahiran Johor itu menyifatkan, ia satu bentuk rezeki tak terduga.
Segalanya berkait rapat dengan keputusan menyerah diri kembali ke jalan diredai Ilahi Oktober tahun lalu sempena sambutan hari lahir ke-38.
“Sejak pakai tudung, lagi banyak tawaran yang saya dapat. Kalau Tuhan kata ini adalah waktu untuk saya, maka jadilah seperti yang dikehendaki-Nya,” tuturnya.














