fbpx

21 individu ditahan terlibat judi online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang wanita warga Britain turut ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah kondominium di Mount Kiara semalam yang didapati dijadikan sebagai pusat aktiviti judi online.

KUALA LUMPUR – Seramai 21 individu termasuk seorang wanita warga asing ditahan selepas didapati terlibat dalam kegiatan judi ekor haram dan perjudian online dalam serbuan di sebuah kondominium di Mount Kiara, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Zairulnizam Mohd. Zainuddin berkata, serbuan berkenaan dilakukan oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields menerusi Ops Bersepadu Ibu Pejabat Polis Daerah  Brickfields.

“Mereka yang ditahan terdiri daripada 15 lelaki dan lima wanita tempatan termasuk seorang wanita warganegara Britain.

“Anggota bertugas turut merampas sebanyak 21 set komputer pelbagai jenama, 42 unit telefon bimbit termasuk dua buah modem,” katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zairulnizam, polis Brickfields turut menahan dua lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki tempatan yang terlibat dalam kegiatan perjudian ekor haram masing-masing di Kuchai Lama dan Sri Petaling menerusi operasi sama.

“Pihak polis turut merampas tiga unit telefon bimbit pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM230 dan kes disiasat di bawah Seksyen 9(1) serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” tegas beliau.

Mengulas lanjut, Zairulnizam berkata, sebanyak enam tindakan kompaun turut dikenakan terhadap enam individu yang didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Antara kesalahan yang didapati dilakukan sepanjang operasi dijalankan adalah pemilik premis gagal mematuhi penjarakan sosial, pelanggan tidak membuat imbasan menggunakan aplikasi MySejahtera serta memainkan muzik dalam premis untuk hiburan.

“Susulan itu, tindakan kompaun telah diambil mengikut Peraturan 11 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempatan jangkitan) 2020 dengan kompaun RM1,000,” ujarnya.

Tambah beliau, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian jenayah boleh menghubungi pihak polis Brickfields di talian 03 2297 9222. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN