fbpx

Politik itu muslihat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
LUQMAN RIDHWAN MOHD. NOR, WARTAWAN EKSEKUTIF

Biarpun rampasan kuasa me­rupakan satu perkataan yang agak kasar bunyinya, namun ia merupakan sebahagian daripada resmi dunia politik.

Di Malaysia sahaja, rampasan kuasa sering berlaku, yang mana kes terbaharu sudah tentu sekali melibatkan negeri Sabah, dengan peralihan kuasa sekali lagi disaksikan baru-baru ini.

Pilihan Raya Negeri Sabah menyaksikan Parti Warisan Sabah (Warisan) yang dipimpin Presidennya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal tumbang, sekali gus menyaksikan Gabungan Rakyat Sabah mengambil alih pemerintahan negeri.

Tidak cukup dengan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini juga menegaskan beliau mempunyai so­kongan lebih 120 Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Biarpun wujud pertikaian sama ada benar atau tidak beliau mempunyai sokongan tersebut, hakikatnya tetap sama baik bagi kes Sabah ataupun Anwar iaitu melompat parti adalah lumrah dunia politik.

Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti, Majlis Profesor Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed berkata, politik sifatnya hidup, begitu juga dengan pendirian ahli politik.

Jadi, katanya, Ahli Parlimen sentiasa akan berubah-ubah pendirian, malah tindakan melompat parti juga berkait rapat dengan pegangan mereka.

Bagaimanapun, katanya, sekiranya Ahli Parlimen melompat parti disebabkan oleh agenda peribadi, maka ia pastinya me­nimbulkan kemarahan orang ramai.

“Tambahan pula, kita tiada akta atau mekanisme untuk meng­halang ahli politik daripada melompat parti.

“Jadi sudah tiba masanya untuk diwujudkan mekanisme tersebut agar perkara sedemi­kian tidak berlaku lagi,” katanya.

Pada masa sama, Ahmad Martadha berkata, agak sukar untuk membuktikan niat seorang ahli politik menukar parti iaitu sama ada bagi kepentingan peribadi atau pendirian berbeza.

“Begitupun, kerajaan perlu mewujudkan mekanisme bagi menghalang tindakan lompat parti kerana ia memberi kesan kepada kestabilan politik dan menjejaskan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Hal Ehwal Dasar, Politik Ekonomi dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Md. Shukri Shuib berkata, me­runtuhkan kerajaan pada ketika negara berhadapan wabak Co­vid-19 merupakan suatu kekhilafan besar.

“Tindakan segelintir Ahli Parlimen menjadikan Perdana Menteri sebagai tebusan politik bagi mendapatkan habuan juga adalah tidak berilmiah,” katanya.

Menurutnya, di saat gabungan parti kerajaan diserang Anwar menerusi dakwaan bahawa dia mempunyai sokongan lebih 120 Ahli Parlimen, UMNO seharus­nya mempertahankan kerajaan.

Sebaliknya, UMNO bertindak mewujudkan masalah dengan gabungan parti kerajaan dan ia disifatkan sebagai pelik dan tidak wajar.

“Kenapa pada saat dan ketika rakyat dan negara bertarung memerangi Covid-19 ada individu dan parti tertentu yang se­olah mahu meruntuhkan kerajaan yang ada. Ini satu khilaf besar,” katanya.

Salah satu definisi politik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka adalah kelicikan, muslihat serta tipu dan ini tepat menggambarkan situasi yang dihadapi ketika ini.

Rakyat kini sudah tidak peduli. Bagi mereka, Ahli Parlimen itu telah mengkhianati mandat yang diberi dan wajarlah ditolak pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI