LAPAN tahun bergelumang dengan sepak terajang dunia hiburan, tidak sedikit pun melunturkan semangat Reen Rahim untuk terus melebarkan sayapnya sebagai anak seni.
Ketika awal lima tahun kemunculan, namanya mungkin tidak begitu dikenali meskipun sudah memegang watak utama atau tambahan dalam puluhan drama dan telefilem.
Namun, siapa sangka, dengan hanya memegang watak tambahan sebagai Kak Su di samping Mira Filzah dan Remy Ishak dalam drama Pujaan Hati Kanda dua tahun lalu, nama Reen terus meledak dalam kalangan pencinta drama tanah air.

Ledakan tersebut juga pernah membuatkan nama dan lakonannya trending dalam media sosial.
Tatkala Kak Su terus ‘menghantui’ peminat drama sehingga ke hari ini, populariti watak tersebut turut menerjah kehidupan peribadinya. Perhatian peminat drama itu secara tiba-tiba beralih kepada sisi hidupnya yang jarang mendapat perhatian ramai.
Jika sebelum ini imej seksinya kurang dihiraukan, kini sarunglah apa sahaja di badannya, pasti menarik perhatian ramai dalam media sosial.
Seksi
Enggan hidupnya dibelenggu kecaman negatif netizen, pemilik nama penuh Noreen Ashikin Abd. Rahim itu nekad untuk menutup ruangan komen akaun Instagramnya sejak tahun lalu.
Akui Reen, terdapat peminat yang berbalah sesama sendiri dalam ruangan komen sehingga mengeluarkan kata-kata yang boleh menggores hati banyak pihak. Semuanya gara-gara baju seksi digayakannya. Bukankah itu memualkan?
“Bukan tidak mahu berdepan realiti hidup tetapi saya pilih untuk mengelakkan ada individu lain terluka jika membaca komen-komen yang ditulis oleh ‘ustaz dan ustazah’ media sosial.
“Saya sedar imej seksi tidak disenangi ramai, jadi lebih baik saya tutup ruangan komen dan mereka tidak perlu bergaduh tentang saya,” ujarnya kepada HibGlam baru-baru ini.
Menurut anak kelahiran Klang, Selangor itu, dia juga sudah lali dengan semua kecaman yang diterima, bahkan selesa menjadi diri sendiri, termasuklah imej seksi yang ditonjolkan kepada umum.
“Itu kehidupan peribadi saya. Netizen tidak perlu mencampuradukkan soal kerja dan peribadi, setiap manusia ada sisi privasi masing-masing.
“Lakonan merupakan kerjaya dan minat saya tetapi apabila orang sudah mula bercakap tentang kehidupan peribadi saya, itu membuktikan mereka sedar sudah kewujudan saya dalam industri hiburan tanah air.

sukan lasak seperti rock climbing dan pendakian. – Ihsan Blackpepper Production
“Saya tidak akan membalas semua kecaman mengenai imej seksi, malah hanya memohon doa yang baik daripada mereka. Tidak semestinya orang itu seksi, perangainya jahat. Lebih baik berdoa daripada ikut berbalah,” katanya lagi.
Rentetan daripada imej seksinya, Reen turut mengakui dihujani dengan mesej daripada individu ‘gatal’ dalam media sosial.
“Ya, memang ada golongan seperti mereka itu yang kerap menghantar mesej berbaur lucah.
“Reaksi saya hanya baca dan membiarkan sahaja semua mesej itu. Selalunya saya akan abai, padam dan sekat pengguna Instagram tersebut.
“Tak perlu dilayan golongan yang tidak cukup akal dan kurang bijak seperti mereka,” tuturnya.
Impak Kak Su
Setiap pelakon pasti mengimpikan untuk memegang watak yang mampu memberi impak kepada para penonton. Tidak kiralah dalam filem mahupun drama.
Malahan, seperti satu bonus sekiranya karakter tersebut terus diingati meskipun tayangan drama atau filem sudah berakhir.
Bukan mudah untuk membuatkan penonton mengingati watak seseorang melainkan dengan keberkesanan yang dipersembahkan.
Meskipun sudah hampir dua tahun drama Pujaan Hati Kanda menamatkan siarannya, watak Kak Su memberi impak besar dalam portfolionya sebagai pelakon.
Gelagatnya yang bersahaja dan dialog yang dilontarkan juga kedengaran serasi dengan perwatakan yang ‘gila-gila’. Dia lucu dan menghiburkan.
Tidak keterlaluan jika sehingga ke hari ini, ramai yang mengenalinya dengan nama Kak Su.
Tidak berkecil hati dengan reaksi tersebut, Reen lebih gembira dengan perkara tersebut membuktikan keberhasilannya dalam melunaskan sesebuah komitmen.
“Watak tersebut membuktikan saya seorang versatil dan mampu memegang watak antagonis, dalam masa sama boleh menjadi seorang yang lucu.

dahulu.
Watak idaman
Juara program realiti Pilih Kasih musim ketiga itu juga bersyukur kerana telah memegang pelbagai jenis watak, tidak kiralah sebagai teraju utama mahupun watak sampingan.
Sepanjang bergelar pelakon, saya telah diberi peluang untuk menjayakan pelbagai jenis watak. Banyak juga watak idaman yang telah saya pegang selama lapan tahun dalam industri.
Meskipun sudah membarisi puluhan drama, Reen tidak pernah mengimpikan untuk merangkul mana-mana anugerah dalam industri hiburan tanah air.
“Saya tidak mengimpikan untuk memenangi mana-mana anugerah atau pengiktirafan. Kebahagiaan dan kesenangan ibu bapa merupakan target utama ketika ini.

Akhiri solo
Ditebak soalan tentang jodoh, wanita yang gemar melakukan aktiviti lasak itu hanya berserah kepada takdir.
“Selagi saya belum menemui jodoh dan belum dibukakan hati untuk menamatkan zaman bujang, saya akan hargai setiap detik solo ketika ini.
“Tanggungjawab saya sebagai anak masih belum tertunai sepenuhnya. Jadi lebih baik saya fokus kepada diri sendiri dahulu.
“Saya juga amat berhati-hati memilih pasangan. Apa pun, saya serahkan semuanya kepada Tuhan. Selain itu, saya tak mahu terburu-buru untuk mendirikan rumah tangga kerana takut didatangi masalah kemudian hari,” tutupnya.
















