Oleh IVAN AMIRUL
KOTA KINABALU – Bank Simpanan Nasional (BSN) menutup cawangan utama bank di negeri ini berikutan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.
Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan BSN, cawangan berkenaan ditutup bermula hari ini bagi kerja pembersihan menyeluruh mengikut garis panduan keselamatan dan kesihatan dan bakal dibuka semula pada 16 Oktober.
Dalam kenyataan sama, BSN memaklumkan proses pengesanan kontak rapat juga sudah dilakukan bagi mengenal pasti individu yang mempunyai hubungan langsung dengan kakitangan terbabit.
“Individu itu telah dikenalpasti akan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari untuk memantau keadaan kesihatan selain berjumpa pakar sekiranya didapati bergejala.
“Pihak bank turut sudah menyediakan pelan kesinambungan perniagaan yang diperlukan untuk memastikan kelancaran fungsi operasinya,”kata kenyataan tersebut.
Tambah kenyataan tersebut, tindakan pencegahan dan kebersihan telah ditetapkan di semua operasi untuk mengurangkan sebarang risiko kesihatan yang timbul daripada penyebaran virus ini. – K! ONLINE.