fbpx
Notis penutupan sekolah di SK Lekir, Batu 8 yang ditampal di pintu pagar sekolah tersebut hari ini.

Lapan sekolah di Manjung tutup seminggu disyaki ada kes Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh SHAMSUL KAMAL AMARUDIN

LUMUT – Sebuah sekolah kebangsaan, enam sekolah rendah agama rakyat (SRAR) dan sebuah pra-sekolah di daerah Manjung ditutup selama tujuh hari bermula hari ini berikutan terdapat kes disyaki jangkitan Covid-19 di daerah ini.

Penutupan tersebut dibuat bagi membolehkan proses sanitasi dan nyah kuman dilakukan di semua premis tersebut untuk mengelak penularan jangkitan wabak berkenaan.

Antara sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Lekir, Batu 8 dan tiga SRAR di Lekir iaitu SRAR Al-Hidayah Batu 7, SRAR Ittifaqiah Batu 10 dan SRAR Al-Khairiah Batu 14.

Turut diarahkan tutup ialah SRAR Annasariah, Sitiawan; SRAR Arshadiah, Kampung Pasir Panjang; SRAR Abadiah, Fasa 1C3, Seri Manjung dan Tadika Islam Perak An-Nasriah, Sitiawan.

Menurut notis yang dikeluarkan Pejabat Pendidikan Daerah Manjung atas arahan Pengarah Pendidikan Perak, SK Lekir ditutup selama seminggu sehingga 20 Oktober bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dan disinfeksi dijalankan oleh pihak Kementerian Kesihatan.

Notis itu memaklumkan sekolah tersebut akan dibuka semula pada 21 Oktober depan.

Sementara itu, Pegawai Tadbir Agama Daerah Manjung, Khairul Nizam Mat Nor, dalam surat pekeliling yang diedarkan ke semua SRAR dan pra-sekolah itu hari ini, mengingatkan semua guru dan murid di sekolah terbabit melakukan kuarantin sendiri.

Beliau juga meminta semua guru bekerja dari rumah sepanjang tempoh penangguhan persekolahan itu dan melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian.

Katanya, bagi memudahkan pengurusan PdP secara dalam talian itu, pihaknya melampirkan manual pengajaran dan pembelajaran (PDP) di rumah kepada semua pihak berkaitan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin, mengesahkan pengeluaran surat pekeliling berkenaan. – K! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN