fbpx

PKPB dijangka tidak beri impak besar kepada ekonomi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Pelaksa­naan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sela­ngor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula hari ini dijangka tidak memberi impak besar kepada ekonomi.

Firma penyelidikan MIDF Research berkata, ia disebabkan syarat yang lebih ringan dan syarikat dibenarkan bero­perasi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi setiap industri.

“Bagaimanapun, kami me­ngakui impak PKPB kepada ekonomi, sebahagian besar di­sebabkan perbelanjaan pengguna yang lebih rendah serta kesan limpahannya kepada industri perkhidmatan seperti perdaga­ngan runcit, restoran, hotel dan pelancongan.

“Namun, dari segi ekonomi, kami menjangkakan impak PKPB kepada pertumbuhan ekonomi bagi suku keempat tahun ini adalah minimal, jadi kami mengekalkan unjuran keluaran dalam negara kasar -4.8 tahun ini,” katanya dalam nota penyelidikan yang dikeluarkan di sini semalam.

 

Menurut MIDF, perbelanjaan pengguna akan disokong pembelian secara online menerusi platform e-dagang, perkhidmatan penghantaran ke rumah dan perkhidmatan kewangan online.

Katanya, perkhidmatan te­lekomunikasi turut menerima faedah daripada kebergantungan yang semakin meningkat kepada perkhidmatan internet untuk pembelian online dan pelaksa­naan konsep bekerja dari rumah.

Sementara itu, Ahli Ekonomi OCBC Bank, Wellian Wiranto berkata, PKPB di Lembah Klang dan Sabah melibatkan hampir separuh saiz ekonomi negara dengan Selangor mewakili hampir satu per empat daripada ekonomi, manakala Kuala Lumpur mewakili 16 peratus.

Jelas beliau, orang ramai mungkin akan kembali gusar akan risiko jangkitan dan menjauhi kawasan awam, seterusnya memberi kesan kepada per­belanjaan pengguna.

“PKPB ini hadir sewaktu fasa moratorium pembayaran pinjaman automatik telah tamat, keperluan untuk membayar pembiayaan rumah dan kereta akan menambah tekanan kepada pemulihan ekonomi pada suku keempat ini.

“Tempoh dua minggu ini sa­ngat kritikal, mungkin syarat ketat dapat meratakan lengkuk jangkitan sekali lagi, sete­rusnya membantu mengekalkan momentum pertumbuhan dan membolehkan Bank Negara mengekalkan kadar dasar semalaman pada mesyuarat 3 November depan,” terang beliau.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI