fbpx

Kumpulan Barkath optimis hadapi waktu sukar kini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARKATH ALI (kanan) pada majlis pelancaran kek buah-buahan sempena sambutan ulang tahun kumpulan ke-80 di Seberang Perai baru-baru ini.

SEBERANG PERAI – Kumpulan Barkath optimis untuk mencatat prestasi kewangan yang baik dan berjaya menghadapi cabaran sukar ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak suku pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan, Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer berkata, meskipun terkesan daripada aspek jualan syarikat semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan pada bulan Mac lalu, ia tidak menjejaskan keseluruhan operasinya.

Menurut beliau, melalui pe­rancangan strategik dan inisiatif pemasaran yang lebih agresif pada separuh kedua tahun ini, syarikat mampu kembali bangkit daripada waktu sukar itu.

“Berdasarkan keyakinan tersebut, syarikat sedang men­yusun strategi untuk memperkenalkan produk baharu di pasaran termasuk makanan dingin beku pada masa depan.

“Terbaharu, kami telah per­kenalkan kek buah-buahan Barkath’s Bakery di pasaran,” kata­nya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan ulang tahun ke-80 kumpulan itu di sini baru-baru ini.

Kumpulan Barkath terkenal dengan produk Sunquick dan juga gula-gula Hacks, selain produk makanan dalam tin termasuk Classfood, Sarina, Kings dan Kikof.

Syarikat juga menjadi pengimport tunggal kepada beberapa produk lain seperti pasta tomato Diga, ubat gigi herba Vicco, kayu wangi Cycle serta air mawar berjenama Raj Mahal Rose Water.

Selain itu, syarikat turut me­meterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS) dalam pelbagai sektor berkaitan.

Menerusi MoU itu, Kumpulan Barkath bersedia menerima penuntut lepasan universiti ber­kenaan untuk menjalani latihan praktikal di bawah kendalian syarikat mereka dalam bidang pengeluaran makanan.

Pada masa sama, Kumpulan juga bersedia menghantar kakitangan ke institusi berkenaan untuk mendalami bidang penyelidikan serta pembangunan bagi meningkatkan kualiti produk mereka pada masa depan.

Sementara itu, Kumpulan Barkath juga menyerahkan cek bantuan kepada Yayasan OrphanCare bernilai RM127,866 hasil kempen yang dijalankan sejak beberapa bulan lalu.

Barkath Ali menjelaskan, kempen itu bermula sejak Ramadan lalu dengan sebahagian daripada hasil jualan produk disalurkan kepada yayasan tersebut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI